Petaling Jaya muncul hab baharu pusat data, limpahan projek pacu sektor pembinaan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petaling Jaya muncul hab baharu pusat data, limpahan projek pacu sektor pembinaan - RHB Research

PANORAMA pusat bandar raya Petaling Jaya. - Foto ihsan Majlis Bandaraya Petaling Jaya
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Julai – Petaling Jaya berpotensi muncul sebagai lokasi baharu pembangunan pusat data (DC) di Malaysia, dan membuka peluang kontrak pembinaan bernilai tinggi, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek tersebut disokong pembangunan DC oleh syarikat berpangkalan di Australia, NEXTDC, yang membuktikan daya tarikannya sebagai hab infrastruktur digital serantau.

 

Sehubungan itu, ia terus mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor pembinaan dengan Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad kekal pilihan utama.

 

"Pembangunan DC KL1 di Petaling Jaya dalam lima peringkat dengan kapasiti teknologi maklumat (IT) keseluruhan 65 megawatt (MW), namun fasa pertama 15MW sudah beroperasi," jelas RHB Research lagi.

 

Sementara fasa kedua dan ketiga ujar firma penyelidikan tersebut kini dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang suku keempat 2026, manakala kerja cerucuk bagi fasa keempat telah pun dimulakan.

 

Tambahnya, Mitrajaya Holdings Berhad merupakan kontraktor utama bagi projek KL1 menerusi kontrak terkumpul yang termasuk kerja-kerja pelbagai dengan dianggarkan mampu mencecah hampir RM1 bilion.

 

sektor pembinaan_DagangNews2026

 

Menurut RHB Research, DC itu turut menampilkan ciri kelestarian melalui sistem penyejukan udara bersama teknologi penuaian air hujan yang boleh mengurangkan penggunaan air terawat melebihi 35%.

 

"Selain itu, kami difahamkan sistem rawatan air kelabu turut membolehkan kira-kira 10% air dapat dikitar semula, sekali gus menjimatkan sumber bekalan air dari luar," kata firma penyelidkan berkenaan.

 

Walaupun harga tanah perindustrian dan komersial di Petaling Jaya lebih tinggi daripada Cyberjaya,, lokasi bandar masih lagi menjadi pilihan pengendali DC kerana keperluan kemudahan bertaraf tinggi.

 

RHB Research menambah, kedudukan strategik yang menghubungkan Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Lembah Klang menjadikannya lokasi ideal untuk menyokong operasi beban kerja kritikal rangkaian digital.

 

Di samping itu, ia turut merujuk beberapa projek DC lain di kawasan bandar termasuk di Seksyen 13, Petaling Jaya serta DC EXSIM di Bukit Jalil yang sedang dibina oleh Binastra Corporation Berhad.

 

Bagaimanapun, firma itu mengingatkan pertambahan projek DC memberi tekanan kepada kapasiti bekalan elektrik dan sumber air, namun penggunaan teknologi dijangka mengurangkan cabaran. - DagangNews.com