KUALA LUMPUR 13 Julai - Sime Darby Property Bhd. memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan pampasan berjumlah RM78.6 juta yang sebelum ini dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Property (Klang) Sdn. Bhd. (SDP Klang), berkaitan pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2026 dalam prosiding rujukan tanah yang melibatkan pampasan bagi pemisahan tanah dan kesan mudarat susulan pengambilan wajib tujuh lot tanah seluas 504,101 meter persegi.
Sebelum ini, Pentadbir Tanah Daerah Klang pada 26 Jun 2015 telah menganugerahkan jumlah pampasan sebanyak RM169.3 juta kepada SDP Klang, merangkumi RM90.7 juta bagi nilai pasaran tanah yang diambil dan RM78.6 juta bagi pampasan pemisahan tanah serta kesan mudarat.
Bagaimanapun, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah membantah pampasan berkaitan kesan mudarat itu dan memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2015.
Selepas melalui beberapa prosiding dan rayuan, kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula yang berlangsung pada 10 dan 11 Mac 2026.
Mahkamah Tinggi akhirnya memutuskan untuk membatalkan keseluruhan pampasan RM78.6 juta yang diberikan bagi pemisahan tanah dan kesan mudarat.
Menurut Sime Darby Property, alasan penghakiman bertulis masih belum dikeluarkan oleh mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 20 Julai 2026 sebagai tarikh pendengaran lanjut bagi menentukan perkara-perkara berbangkit susulan keputusan itu, termasuk jumlah kos yang perlu dibayar.
Sime Darby Property berkata impak kewangan daripada keputusan tersebut sedang dinilai memandangkan beberapa perkara susulan, termasuk sebarang amaun yang mungkin perlu dibayar berdasarkan perintah mahkamah, masih belum dimuktamadkan.
"Pengumuman lanjut akan dibuat apabila terdapat penentuan muktamad terhadap perkara-perkara berbangkit itu," katanya.
Syarikat turut menjelaskan pada peringkat litigasi semasa, keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak dijangka memberi kesan operasi yang material kepada kumpulan.
Pada masa sama, Sime Darby Property sedang meneliti keputusan mahkamah tersebut serta mempertimbangkan semua pilihan undang-undang yang tersedia sebelum menentukan tindakan selanjutnya. - DagangNews.com








