Hutang tinggi punca ramai pembeli rumah gagal lulus pembiayaan bank, lebih 70% pemaju terjejas - REHDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hutang tinggi punca ramai pembeli rumah gagal lulus pembiayaan bank, lebih 70% pemaju terjejas - REHDA

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac – Lebih dua pertiga bakal pembeli rumah di Malaysia gagal mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank, menjadi antara faktor utama yang mengekang transaksi hartanah kediaman ketika ini.

 

Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menerusi tinjauan industri hartanah terbaharunya yang melibatkan 166 pemaju di seluruh negara.

 

Menurut dapatan kajian tersebut, sebanyak 72% pemaju melaporkan bakal pembeli menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan, terutamanya selepas permohonan pinjaman akhir mereka ditolak oleh institusi kewangan.

 

Pinjaman akhir merujuk kepada pembiayaan perumahan yang diberikan oleh bank selepas pembeli menandatangani perjanjian jual beli bagi melengkapkan transaksi pembelian hartanah.

 

Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang berkata, antara sebab utama permohonan pinjaman ditolak adalah kerana komitmen hutang yang tinggi, termasuk baki hutang kad kredit serta tahap pendapatan yang tidak mencukupi.

 

Beliau berkata, terdapat juga kes di mana permohonan gagal diproses kerana pembeli tidak mengemukakan dokumen kewangan yang lengkap kepada pihak bank.

 

“Pemaju sering menasihatkan pembeli supaya menguruskan kewangan dengan lebih baik, namun kelulusan pinjaman tetap bergantung kepada syarat kelayakan yang ditetapkan oleh institusi kewangan,” katanya.

 

Situasi itu berlaku ketika pasaran hartanah negara masih berdepan ketidaksepadanan antara harga rumah dengan tahap pendapatan isi rumah.

 

Kajian terdahulu oleh Khazanah Research Institute menunjukkan kira-kira 15% isi rumah di Malaysia memperoleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, namun hanya sekitar 3% projek rumah baharu berada dalam julat harga mampu milik untuk kumpulan tersebut.

 

Walaupun hampir separuh daripada pelancaran projek kediaman baharu berada pada harga di bawah RM300,000, harga tersebut masih dianggap sukar dicapai oleh sebahagian besar golongan berpendapatan rendah.

 

Tinjauan REHDA turut mendapati kadar penolakan pinjaman paling tinggi berlaku bagi rumah yang berharga antara RM500,001 hingga RM700,000, dengan sekitar 31% hingga 45% permohonan gagal memperoleh kelulusan pembiayaan.

 

Perkembangan itu menunjukkan tekanan kemampuan membeli rumah bukan sahaja menjejaskan golongan berpendapatan rendah, malah semakin dirasai oleh kumpulan berpendapatan sederhana yang selama ini menjadi segmen utama pasaran kediaman.

 

Dalam masa sama, REHDA turut memaklumkan pemaju berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan sementara projek apabila bank memperketat syarat pembiayaan, termasuk mewajibkan projek mencapai kadar jualan antara 30% hingga 60% sebelum dana pembinaan dilepaskan. - DagangNews.com