KUALA LUMPUR 6 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor pembinaan selepas melihat prospek industri semakin positif susulan penyusutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan jangkaan peningkatan aliran kontrak pada separuh kedua 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian saham sektor pembinaan kini lebih menarik selepas mengalami penyusutan secara menyeluruh berikutan kebimbangan terhadap perang Iran sebelum ini.
Menurutnya, risiko yang dihadapi kontraktor semakin berkurangan apabila harga bahan binaan utama kembali stabil, sekali gus memperbaiki profil risiko dan pulangan sektor itu.
"Walaupun sedikit penyusutan margin dijangka berlaku pada suku kedua 2026, kami percaya tempoh paling mencabar akibat perang telah berlalu bagi kebanyakan kontraktor.
"Semakan kami menunjukkan harga keluli, konkrit siap bancuh (RMC) dan diesel industri semakin menghampiri paras sebelum perang sejak Jun berikutan kemajuan dalam rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
HLIB berkata, Indeks Pembinaan Bursa Malaysia yang susut 14% pada suku pertama 2026 akibat kebimbangan geopolitik telah mengurangkan kerugian tahun ke tarikh kepada sekitar 5% pada suku kedua tahun ini.
Menurutnya, perkembangan itu didorong oleh kejelasan kos pembinaan, ketegangan geopolitik yang semakin reda serta momentum penganugerahan kontrak yang kekal kukuh.
Belanjawan 2027
Firma itu berkata, jumlah aliran kontrak domestik setakat suku kedua 2026 meningkat kepada RM16.9 bilion, disokong oleh penganugerahan pakej utama pusat data, peluang subkontrak dalam ekosistem pusat data serta pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti skim bekalan air Ulu Padas.
Pada masa sama, HLIB menjangkakan sentimen yang lebih baik akan menggalakkan pemaju melancarkan lebih banyak projek kediaman pada separuh kedua tahun ini berikutan persekitaran kos yang lebih kondusif dan keyakinan pembeli rumah yang semakin pulih.
Selain itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan Belanjawan 2027 akan memberikan kejelasan mengenai pelaksanaan beberapa projek infrastruktur berskala besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Selain projek bekalan air dan mitigasi banjir, kami menjangkakan kerajaan akan menegaskan semula komitmennya terhadap projek MRT3 Circle Line.
"Memandangkan proses pengambilan tanah menjadi fokus utama pada 2026, aktiviti tender dijangka meningkat dengan ketara pada 2027," katanya.
Dalam sektor itu, HLIB mengekalkan Sunway Construction Group Bhd sebagai pilihan utama dengan saranan 'Beli' dan harga sasaran RM9.10 sesaham, diikuti IJM Corp Bhd dengan saranan 'Beli' serta harga sasaran RM3.02 sesaham. - DagangNews.com








