Harga pengguna Malaysia mereda kepada 1.9% pada Ogos, inflasi Pulau Pinang, Pahang tertinggi - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga pengguna Malaysia mereda kepada 1.9% pada Ogos, inflasi Pulau Pinang, Pahang tertinggi - DOSM

Sebanyak 12 jenis sayur-sayuran merekodkan penurunan pada Ogos 2024 termasuk tomato, kata DOSM. Gambar hiasan NAIM AZIZ/DagangNews

KUALA LUMPUR 23 Sept - Kadar inflasi Malaysia bagi Ogos 2024 mereda kepada 1.9%, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencecah 133.2, berbanding 130.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan IHP bagi Ogos 2024, berkata, peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2%).

 

Ini  diikuti penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (3.1%) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0%).

Walau bagaimanapun, pakaian dan kasut masih kekal negatif 0.2% pada Ogos 2024.
 

 

ihp1

 

"Kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8%peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.6 peratus pada Ogos 2024, kadar yang sama direkodkan pada Julai 2024.

 

"Subkumpulan utama Makanan di rumah meningkat 0.3% (Julai 2024: 0.3%) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan Sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus (Julai 2024: 2.9%).

 

"Walau bagaimanapun, 12 jenis sayur-sayuran merekodkan penurunan adalah Tomato, Timun dan Salad," kata DOSM dalam kenyataan hari ini.

 

SAYUR

 

Pada Julai 2024, Indeks Harga Pengguna - tolok utama inflasi Malaysia - meningkat 2.0%  berbanding tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin turut menambah, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.9%. 

 

Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3%), Pahang (2.8%), Sarawak (2.5%) dan Selangor (2.3%). 

 

ihp2

 

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi Makanan & Minuman. Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 2.8 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.7%), Sarawak (2.0%), Pahang (1.9%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%) dan Terengganu (1.6%). 

 

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 1.6 peratus pada Ogos 2024," katanya.

 

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.9%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.5%), Filipina (3.3%), Indonesia (2.1%) dan Republik Korea (2.0%). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.6%) dan Thailand (0.4%).- DagangNews.com