Harga minyak sawit mentah berpotensi naik akibat ketidaktentuan bekalan, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah berpotensi naik akibat ketidaktentuan bekalan, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - Ketidaktentuan bekalan minyak sawit mentah berpotensi menjadi pemangkin utama kepada peningkatan harga komoditi itu pada masa hadapan, kata CIMB Securities.

 

Katanya, pelbagai faktor menjadi pendorong termasuk ladang yang semakin berusia, kelemahan dalam usaha penanaman semula serta hasil yang semakin berkurangan akan terus mengehadkan pertumbuhan bekalan sawit Malaysia dalam beberapa tahun akan datang.

 

“Prospek bekalan yang semakin mencabar, digabungkan dengan permintaan global yang kekal kukuh, dijangka menyokong harga minyak sawit mentah pada paras tinggi,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat perladangan utama seperti FGV Holdings Berhad, SD Guthrie Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan IOI Corp Berhad dilihat terus mengekalkan disiplin dalam program penanaman semula, berbanding sesetengah syarikat lain yang menangguhkannya disebabkan tekanan aliran tunai dan pembayaran dividen.

 

CIMB Securities berkata, syarikat yang konsisten melabur dalam penanaman semula dan peningkatan hasil bakal menjadi penerima manfaat utama dalam persekitaran bekalan yang semakin mencabar.

 

“Dalam konteks ini, kami lebih menyukai IOI Corp, Ta Ann Holdings Berhad dan SD Guthrie, yang aktif menanam semula sejajar dengan sasaran nasional sebanyak 4%,” katanya.

 

Katanya, hasil sawit Malaysia per hektar masih jauh di bawah potensi sebenar, dengan purata hasil buah tandan segar (BTS) pada 16.7 tan/hektar dan hasil minyak sawit mentah 3.28 tan/hektar pada 2024 – jauh lebih rendah berbanding United Plantations Berhad, yang mencapai 29.56 tan/hektar. 

 

Antara punca utama hasil mendatar itu ialah akibat kekurangan pekerja penuai, amalan pembajaan lemah, usia pokok tua, pengurusan ladang tidak efisyen serta kesan perubahan iklim, ditambah penyakit Ganoderma dan serangan serangga dilihat menambah tekanan ke atas industri.

 

Data menunjukkan, eksport minyak sawit Malaysia susut 10.6% tahun ke tahun dalam tempoh lapan bulan pertama 2025. Namun begitu, Kenya muncul sebagai pengimport utama baharu berikutan kelebihan duti, manakala Filipina meningkatkan import kerana kekurangan minyak kelapa tempatan.

 

Sementara itu, rancangan kerajaan untuk menaikkan mandat biodiesel daripada B10 kepada B20 masih belum dilaksanakan kerana kos infrastruktur tinggi dianggarkan RM643 juta, selain risiko peningkatan beban subsidi minyak masak.

 

“Pada harga minyak sawit mentah semasa yang tinggi, peluasan kepada B20 akan membebankan lagi subsidi dan tidak ekonomik untuk dilaksanakan,” katanya.

 

Tidak seperti Indonesia yang membiayai program biodieselnya melalui dana minyak sawit mentahnya, Malaysia masih bergantung kepada subsidi kerajaan — menjadikannya kurang berdaya saing dari segi struktur kos.

 

CIMB Securities turut mendedahkan, kawasan tanaman sawit Malaysia telah berkurang 5%, daripada 5.9 juta hektar pada 2019 kepada hanya 5.6 juta hektar pada akhir 2024, kesan daripada aktiviti penanaman semula dan penukaran tanah kepada tanaman alternatif serta pembangunan bukan pertanian.

 

“Dengan tiada penanaman baharu sejak 2019, pertumbuhan pengeluaran masa depan bergantung sepenuhnya kepada penanaman semula dan peningkatan hasil ladang,” katanya.- DagangNews.com