Gas Malaysia diyakini kembali normal selepas bekalan gas pulih sepenuhnya pada 20 April - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gas Malaysia diyakini kembali normal selepas bekalan gas pulih sepenuhnya pada 20 April - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 April — Gas Malaysia Berhad diyakini kembali mencatatkan pertumbuhan normal selepas insiden letupan paip di Putra Heights, Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada 20 April 2025, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, jumlah dagangan saham syarikat berkenaan sebenarnya berjaya merekodkan pemulihan pada FY24, dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.6 peratus selepas menyaksikan penurunan selama tempoh dua tahun.


Ia menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak dua peratus untuk FY25 sehingga FY26 dengan harga sasaran (TP) diunjur masih konsisten kepada RM4.00 sesaham berdasarkan kepada trend perkembangan positif berkenaan.


"Bagaimanapun kami turut mengambil perhatian bahawa hanya segmen runcit yang menanggung risiko pertumbuhan, manakala segmen pengedaran menerusi talian paip berjalan pada model had hasil," katanya dalam satu nota kajian.


Gangguan bekalan gas semasa sejak 1 April 2025 ekoran peristiwa letupan dahsyat tersebut yang memberi kesan kepada lebih 8,000 premis termasuk 300 kilang di Lembah Klang dijangka kembali normal selewat-lewatnya pada 20 April 2025.


Pemeriksaan saluran paip yang dilakukan Gas Malaysia kata firma penyelidikan tersebut, menunjukkan bekalan bahan api berkenaan telah berjaya dipulih secara berperingkat terutamanya untuk segmen makanan dan minuman.


"Kami menganggarkan pengurangan sebulan penuh akan menurunkan empat peratus pendapatan syarikat ini pada FY25 dengan harga gas domestik rujukan Petronas juga ketinggalan selama tempoh enam hingga tujuh bulan," kata Maybank IB.


Bagaimanapun memandangkan trajektori terkini harga minyak mentah penanda aras global iaitu Brent, firma itu menjangkakan purata harga gas domestik akan menurun sebanyak tujuh hingga 10 peratus tahun-ke-tahun pada 2025,


Ramalan tersebut sejajar dengan andaiannya mengenai kemungkinan boleh terjadi penurunan sebanyak sembilan peratus selain keuntungan runcit Gas Malaysia adalah berdasarkan kadar peratusan kos gasnya yang tidak didedahkan.


Sehubungan itu, ia berpandangan bahawa syarikat berkenaan harus mengikut trend yang seiring dengan situasi harga gas domestik semasa sekiranya tiada berlaku pelarasan kos diumumkan oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat.


"Kami menjangkakan harga yang lebih rendah pada 2025 seiring dengan harga minyak mentah manakala gangguan bekalan gas baru-baru ini tidak mungkin memberi kesan material kepada pendapatan Gas Malaysia pada FY25," katanya.


Maybank IB turut mengekalkan saranan "pegang" dengan TP yang tidak berubah iaitu RM4.00 sesaham namun syarikat berkenaan kekal sebagai pilihan firma tersebut antara kebanyakan operator utiliti gas. - DagangNews.com