GamBit Group dan Digital Trustees terajui inovasi perkhidmatan amanah digital pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GamBit Group dan Digital Trustees terajui inovasi perkhidmatan amanah digital pertama di Malaysia

Gambar Patrick Tomasso/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Feb - GamBit Group Berhad dan Digital Trustees Berhad menjalin kerjasama untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan amanah tradisional dan perancangan harta pusaka yang pertama di Malaysia dengan Penjagaan Aset Digital (DAC). 

 

Kerjasama yang bermula pada akhir Januari 2025 itu menjadikan Konsortium GamBit sebagai syarikat pertama di Malaysia yang berlesen menghubungkan aset tradisional dan digital.

 

GamBit Custody, anak syarikat GamBit Group, merupakan satu daripada tiga syarikat di Malaysia yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai DAC. 

 

Pengiktirafan tersebut menjadikan GamBit sebagai peneraju dalam ekosistem kewangan digital dengan menawarkan saluran selamat dan mematuhi peraturan untuk perusahaan kecil & sederhana (PKS) dan pelabur individu dalam ekonomi digital yang berkembang. 

 

GamBit Custody memanfaatkan Digitalisasi Aset Fizikal (RWA) seperti hartanah dan komoditi dan menawarkan peluang pelaburan kepada pasaran massa.

 

Penyepaduan berkenaan juga membawa GamBit Group ke pasaran perniagaan-ke-pengguna (B2C) dengan memberikan akses kepada perkhidmatan perancangan warisan harta untuk individu, yang kini termasuk penyimpanan wang tunai dan kripto dalam amanah. 

 

Inisiatif itu dijangka memperkasakan kewangan rakyat Malaysia yang lebih luas dengan memberi akses kepada perkhidmatan amanah yang menyeluruh.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GamBit Group, Datuk Clifford Hii berkata, perancangan kewangan dan harta pusaka bukan hanya untuk golongan kaya, tetapi adalah hak semua rakyat Malaysia.

 

"Pandemik Covid-19 memperlihatkan cabaran perancangan harta pusaka dan kewangan yang perlu dihadapi oleh semua, bukan hanya segelintir individu.


 
"Kerjasama dengan Digital Trustees membawa GamBit lebih dekat ke matlamat untuk memudahkan perkhidmatan amanah dan memastikan masa depan kewangan yang lebih terangkum dan praktikal bagi rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

GamBit Group berhasrat memperluas akses kewangan yang penting kepada golongan berpendapatan rendah dan PKS, terutamanya bagi perniagaan kecil yang sering terpinggir daripada rangkaian dana tradisional. 

 

Ia juga sedang mengembangkan inovasi baharu, termasuk rumusan pengurusan kekayaan digital yang mematuhi prinsip syariah untuk memenuhi keperluan pasaran yang lebih luas.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmennya, GamBit Group juga melabur sehingga RM20 juta di Sarawak untuk menyokong PKS tempatan dan menyediakan rumusan pengurusan amanah serta aset digital di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

Kerjasama antara GamBit dan Digital Trustees Berhad itu merupakan langkah ke arah masa depan kewangan yang lebih menyeluruh, memberi fokus kepada kemampuan, keselamatan dan kemudahan capaian kepada rakyat Malaysia. 

 

Seiring perkembangan teknologi kewangan dan aset digital, GamBit Group terus komited dalam mendidik dan memperkasa rakyat Malaysia untuk mencapai masa depan kewangan yang lebih selamat dan makmur. - DagangNews.com