FGV uji biodiesel B100 di ladang buktikan minyak sawit berpotensi jadi tenaga boleh diperbaharui | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV uji biodiesel B100 di ladang buktikan minyak sawit berpotensi jadi tenaga boleh diperbaharui

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 8 Julai - FGV Holdings Bhd memperluas percubaan biodiesel B100 dalam operasi perladangan bagi menilai prestasi teknikal dan kebolehlaksanaan penggunaan biodiesel 100% berasaskan minyak sawit tempatan dalam persekitaran operasi sebenar.

 

Pengerusi FGV, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, berkata langkah itu mencerminkan komitmen syarikat untuk terus meneroka potensi baharu industri sawit menerusi inovasi yang dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berasaskan bukti.

 

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kekuatan sebagai antara pengeluar minyak sawit utama dunia yang mampu memainkan peranan lebih besar dalam agenda tenaga boleh diperbaharui negara.

 

"Dalam landskap global yang semakin mencabar termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan dan pasaran tenaga, komoditi strategik ini mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang kepada agenda tenaga boleh diperbaharui negara serta memperkukuh daya saing industri sawit.

 

"Keputusan kerajaan untuk meningkatkan campuran biodiesel kepada B20 turut mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui berasaskan sumber tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Abu Huraira, FGV menyambut baik aspirasi tersebut dan akan terus memainkan peranan menerusi penilaian operasi yang bertanggungjawab bagi menyokong pembangunan industri bahan api bio negara.

 

Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sekadar menilai kebolehgunaan B100, malah mencerminkan komitmen FGV dalam mencipta nilai tambah daripada minyak sawit menerusi inovasi yang menyokong pembangunan industri, memperkukuh ekosistem Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta memberi manfaat kepada peneroka.

 

Ujian B100 libatkan 17 aset operasi ladang

Difahamkan, percubaan selama enam bulan itu dilaksanakan di ladang Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak, Jerantut, melibatkan kira-kira 17 aset termasuk traktor, jentera pertanian, penjana elektrik dan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam operasi harian ladang.

 

Percubaan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan setiap aset dipantau menerusi analisis teknikal meliputi penggunaan bahan api, prestasi enjin, kebolehpercayaan operasi, keperluan penyelenggaraan serta kualiti bahan api.

 

Semua aset turut menjalani pemeriksaan awal bagi menetapkan garis asas prestasi sebelum ujian dilaksanakan.

 

"Operasi perladangan dipilih kerana ia menawarkan persekitaran operasi yang lebih mencabar termasuk penggunaan jentera secara berterusan, keadaan muka bumi yang pelbagai, suhu operasi tinggi serta beban kerja berbeza mengikut jenis aset.

 

"Keadaan ini membolehkan data operasi sebenar dikumpulkan dengan lebih menyeluruh," katanya.


 

Felda
Majlis pelancaran inisiatif itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena sambutan Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 Felda 2026 di Jengka pada Selasa. - Foto Bernama

 

 

FGV berkata, pemilihan sambutan Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 Felda 2026 sebagai platform pelancaran mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh rantaian nilai sawit bersama komuniti peneroka.

 

Bekalan buah tandan segar daripada peneroka Felda menjadi asas kepada pembangunan pelbagai produk bernilai tambah termasuk biodiesel B100.

 

B100 berpotensi tambah nilai industri sawit

Penggunaan biodiesel B100 yang berasaskan minyak sawit tempatan dilihat sebagai salah satu pendekatan untuk memperluas penggunaan hasil sawit melangkaui sektor makanan dan komoditi tradisional.

 

Melalui percubaan dalam keadaan operasi sebenar, FGV dapat mengumpulkan data berkaitan prestasi bahan api tersebut sebelum menilai potensi penggunaannya secara lebih meluas dalam sektor perladangan serta industri berkaitan.

 

Inisiatif itu turut selari dengan usaha memperkukuh rantaian nilai industri sawit negara melalui inovasi, kelestarian dan pembangunan produk bernilai tinggi berasaskan sumber tempatan. - DagangNews.com