KUALA LUMPUR 8 Julai — RHB Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pengguna dan menjangka permintaan domestik kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor berkenaan terus kukuh, disokong corak perbelanjaan pengguna berhati-hati tetapi masih memberi keutamaan kepada barangan keperluan harian dan nilai terbaik.
Menurutnya, dapatan itu diperoleh menerusi satu persidangan baru-baru ini yang menghimpunkan lebih 60 pelanggan institusi bagi memberikan perspektif baharu mengenai hala tuju sektor pengguna.
"Meskipun sentimen dilihat berwaspada, pasaran masih menyediakan peluang pertumbuhan bagi syarikat yang menyesuaikan perniagaan mengikut perubahan tingkah laku pengguna semasa," kata RHB Research.
Ujarnya, permintaan keperluan asas, makanan, peruncitan berasaskan nilai, kedai serbaneka dan produk mampu milik dijangka kukuh, dengan memerlukan tawaran nilai bagi merangsang pembelian.
Trend pengguna jelasnya, mendorong banyak syarikat berusaha memperkukuh strategi penetapan harga, promosi dan pengurusan inventori bagi memastikan daya saing serta mengekalkan margin keuntungan.

Pada masa sama kata RHB Research, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin luas dalam industri bagi memahami keutamaan pelanggan, mengoptimumkan inventori serta strategi pemasaran.
"Syarikat berskala operasi besar, jenama kukuh dan menawarkan produk pada harga kompetitif berada pada kedudukan yang terbaik bagi memanfaatkan perubahan corak perbelanjaan pengguna," jelasnya.
Justeru, firma itu terus menggemari segmen barangan keperluan asas dan peruncitan berorientasikan nilai kerana dijangka lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi semasa.
RHB Research menamakan Nestlé (Malaysia) Berhad, Eco-Shop Marketing Berhad dan MR DIY Group (M) Berhad sebagai saham pilihan berikutan prospek pertumbuhan disokong permintaan stabil pengguna.
Ia juga berpandangan sektor pengguna kekal sebagai antara pilihan utama pelabur yang mencari aset defensif kerana gabungan penggunaan domestik serta perubahan strategi ke arah penawaran nilai.
"Di samping, penggunaan AI dijangka terus menyokong prestasi syarikat-syarikat berkaitan dalam tempoh jangka panjang tanpa bergantung kepada perbelanjaan budi bicara," ujarnya. - DagangNews.com








