KUALA LUMPUR 8 Julai - Waja Konsortium Berhad keluar daripada status Nota Panduan 3 (GN3) hari ini, susulan penyelesaian pelan pemulihannya yang melibatkan pengurangan modal saham berjumlah RM85 juta.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata Waja Konsortium telah memulihkan kedudukan kewangannya dan tidak lagi memenuhi mana-mana kriteria di bawah Perenggan 2.1 Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.
Setakat 31 Mac 2026, baki tunai Waja Konsortium berjumlah RM329,000, berkurangan daripada RM5.71 juta setahun sebelumnya. Syarikat itu kekal bebas hutang, manakala kerugian terkumpul berjumlah RM75.76 juta.
Waja Konsortium diklasifikasikan sebagai syarikat GN3 atau syarikat berdepan masalah kewangan lebih dua tahun iaitu Oktober 2023 selepas mencatatkan kerugian besar yang melebihi ekuiti pemegang saham.
Syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM44.03 juta bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2023, melebihi ekuiti pemegang saham berjumlah RM37.2 juta.
Selain itu, kerugian terkumpul berjumlah RM68.59 juta bagi dua tahun kewangan berakhir Disember 2021 dan Jun 2023 turut melebihi ekuiti pemegang saham.
Bursa Malaysia sebelum ini turut mengambil kira kebimbangan juruaudit terhadap keadaan kewangan Waja Konsortium, yang menurutnya gagal ditangani dengan sewajarnya oleh lembaga pengarah syarikat.
Pernah keluar status GN3 pada 2011
Waja Konsortium yang menjalankan perniagaan teras dalam sektor pembinaan serta perkhidmatan sokongan dan perundingan berkaitan teknologi maklumat (IT), sebelum ini pernah diklasifikasikan sebagai syarikat GN3.
Bagaimanapun, syarikat itu berjaya keluar daripada status kewangan bermasalah berkenaan pada September 2011.
Syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai ConnectCounty Holdings Bhd.
Saham Waja Konsortium ditutup tidak berubah pada lima sen pada Selasa, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM55.76 juta. - DagangNews.com








