Pixlr Group mohon penyenaraian di Pasaran ACE, rancang IPO 279 juta saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pixlr Group mohon penyenaraian di Pasaran ACE, rancang IPO 279 juta saham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pixlr Group Berhad, syarikat perisian kreatif berasaskan kecerdasan buatan (AI), merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk memperluaskan operasi dan memperkukuh pembangunan teknologinya.

 

Berdasarkan draf prospektus yang difailkan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu merancang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan 279 juta saham, mewakili 27.22% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.025 bilion saham selepas penyenaraian.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 217.5 juta saham diperuntukkan bagi tawaran institusi yang terdiri daripada 125.5 juta saham baharu dan 92 juta saham sedia ada.

 

Sementara itu, tawaran runcit membabitkan 61.5 juta saham baharu, dengan 51.25 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian manakala baki 10.25 juta saham pula dikhaskan kepada pengarah, kakitangan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada pembangunan kumpulan.

 

Pixlr terkenal sebagai syarikat yang membangunkan beberapa platform kreatif digital berasaskan AI seperti Pixlr, Designs.ai dan Vectr yang digunakan oleh pelanggan di seluruh dunia.

 

Perisian yang dibangunkan syarikat itu membantu pengguna menghasilkan kandungan kreatif dengan lebih pantas menerusi penggunaan teknologi AI.

 

Beroperasi di Singapura dan Malaysia, kumpulan itu memperoleh sebahagian besar hasilnya menerusi yuran langganan perisian. Sehingga kini, Pixlr mempunyai pelanggan berbayar di kira-kira 160 negara, merangkumi pasaran utama di benua Amerika, Eropah serta Asia Pasifik.

 

t

 

Dana yang diperoleh daripada IPO itu akan digunakan bagi memperluaskan penawaran perisian kreatif berasaskan AI, selain meningkatkan keupayaan aplikasi dan platform sedia ada supaya kekal berdaya saing dalam industri teknologi yang berkembang pesat.

 

Pada masa sama, syarikat turut merancang menggunakan sebahagian hasil IPO bagi memperkukuh aktiviti pemasaran, menambah sumber operasi serta membiayai keperluan modal kerja untuk menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.

 

Dari segi prestasi kewangan, Pixlr mencatat keuntungan bersih sebanyak RM12.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 20.97% berbanding RM10.19 juta yang direkodkan setahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan turut berkembang 18.72% kepada RM37.53 juta berbanding RM31.61 juta pada tahun kewangan sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan pendapatan daripada langganan perisian kreatif berasaskan AI.

 

Selepas penyenaraian, pegangan saham Littleedge Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Stephanie Sitt dan Pengarah Eksekutif, Andy Sitt, dijangka berkurangan daripada 41.77% kepada 34.15%. 

 

Bagaimanapun, syarikat pelaburan itu kekal sebagai pemegang saham utama Pixlr.

 

Bagi mengendalikan proses penyenaraian tersebut, AmInvestment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal serta penaja jamin tunggal. - DagangNews.com