KUALA LUMPUR 8 Julai – Zetrix AI Berhad memeterai perjanjian awal dengan kerajaan Filipina bagi membangunkan infrastruktur rantaian blok awam negara itu, sekali gus memperluaskan penglibatan syarikat dalam ekosistem teknologi rantaian blok di Asia Tenggara.
Dengan kerjasama terbaharu itu, Filipina akan menjadi negara kedua yang menggunakan protokol Zetrix bagi membangunkan infrastruktur rantaian blok kebangsaan selepas Malaysia.
Zetrix AI berkata, memorandum persefahaman (MoU) itu dimeterai antara tiga pihak iaitu anak syarikatnya, Zetrix Philippines Inc.; My Blockchain Infrastructure Sdn Bhd – syarikat usaha sama antara Zetrix AI dan agensi penyelidikan serta pembangunan nasional Malaysia, Mimos Berhad; serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Filipina.
Kerjasama itu akan menyaksikan pembangunan aplikasi rantaian blok bagi membolehkan kesalingoperasian rentas sempadan antara sistem identiti digital kebangsaan Malaysia dan Filipina.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut meliputi pengeluaran, pengesahan dan pengesahan ketulenan kelayakan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Filipina, selain menyokong kemudahan perdagangan rentas sempadan.
Protokol Zetrix
Protokol Zetrix kini menjadi rantaian asas kepada Infrastruktur Rantaian Blok Malaysia (MBI) yang dilancarkan pada April 2025.
Zetrix AI turut mengendalikan nod super antarabangsa kepada Infrastruktur dan Kemudahan Rantaian Blok Xinghuo China bagi menyokong perkhidmatan pengesahan digital serta perdagangan rentas sempadan.
Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, kerjasama itu merupakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan visi syarikat untuk membangunkan ekosistem rantaian blok bersepadu di rantau ini.
"Detik penting ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan visi kami untuk membawa negara-negara di rantau ini ke dalam ekosistem bersepadu yang sama, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi menerusi kerjasama serantau yang lebih kukuh," katanya.
Zetrix AI telah beroperasi di Filipina hampir sedekad dengan menyediakan perkhidmatan kerajaan digital kepada beberapa agensi termasuk Biro Hasil Dalam Negeri, Biro Siasatan Kebangsaan, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Pihak Berkuasa Pelabuhan Filipina serta Biro Perikanan dan Sumber Akuatik.
Saham Zetrix AI ditutup rendah setengah sen atau 0.66% kepada 75.5 sen pada Selasa, memberikan kumpulan itu yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Berhad, permodalan pasaran sebanyak RM6.08 bilion. - DagangNews.com








