KUALA LUMPUR 23 Feb – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, EPIC OG Sdn Bhd dan Begas Energy menandatangani perjanjian kerjasama bagi projek henti tugas secara terancang, penyelenggaraan dan pengubahsuaian terminal minyak (TTAMM) di Sabah.
Kerjasama ini membolehkan kedua-dua syarikat menyediakan perkhidmatan pengurusan projek secara bersama, termasuk nasihat teknikal untuk aktiviti penyelenggaraan rutin dan pencegahan, serta kerja pengubahsuaian asset di terminal.
Tujuan utama perjanjian ini adalah untuk memastikan integriti aset terjaga dan operasi terminal berjalan lancar dengan mematuhi standard industri, peraturan, serta amalan terbaik keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.
EPIC OG diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts Muhtar Suhaili dan Pengurus Besar Tenaga EPIC Bhd, Mohamad Irwan Abdul.
Begas Energy pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohd Safian Saludin dan Pengurus Operasi Shahlan Rusian.
Pengerusi EPIC OG, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, turut menyaksikan majlis perjanjian itu bersama Ahli Lembaga Pengarah yang lain.

Sementara itu, Muhtar berkata kerjasama ini menunjukkan komitmen EPIC Berhad untuk menyediakan rumusan menyeluruh dalam rantaian nilai minyak dan gas.
“Kerjasama strategik ini akan memperkukuh keupayaan pengurusan projek syarikat untuk melaksanakan kerja-kerja kompleks dengan cekap dan selamat.
“Dengan menggabungkan kepakaran EPIC OG dalam pengurusan projek dan sokongan minyak & gas bersama kekuatan operasi Begas Energy, projek TTAMM dijangka dijalankan dengan lebih tersusun, efisien dan berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain daripada memastikan projek berjalan lancar, kerjasama ini juga menyokong strategi EPIC Berhad untuk mengembangkan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan terminal.
Ia diharap dapat menyumbang kepada ketahanan tenaga di Sabah serta memperkukuh industri minyak dan gas negara.
EPIC Berhad merupakan syarikat GLC Terengganu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan minyak dan gas, termasuk pengurusan pelabuhan, kejuruteraan marin, dan penyelenggaraan.
Syarikat ini juga aktif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau untuk menyokong ekonomi rendah karbon.
EPIC OG mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri minyak dan gas. Bermula dengan fabikasi umum dan penyelenggaraan tangki, syarikat kini menyediakan perkhidmatan fabikasi khusus, penyelenggaraan besar, dan pengubahsuaian untuk paip dan peralatan. - DagangNews.com








