EC-Council perkenal 4 program pensijilan latihan, tadbir urus AI untuk profesional industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EC-Council perkenal 4 program pensijilan latihan, tadbir urus AI untuk profesional industri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – Peneraju global dalam pendidikan dan latihan keselamatan siber serta pencipta pensijilan Penggodam Beretika Bertauliah (CEH), EC Council kini melancarkan Enterprise AI Credential Suite yang memperkenalkan empat pensijilan AI baharu serta kemas kini Certified CISO v4.

 

Pelancaran ini adalah pengembangan terbesar portfolio EC-Council dalam sejarah 25 tahun organisasi tersebut, bagi membantu ia membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam penggunaan, perlindungan dan tadbir urus AI.

 

Presiden Kumpulan EC-Council, Jay Bavisi berkata teknologi AI berkembang lebih pantas daripada kemampuan tenaga kerja untuk mengendalikannya. 

 

“Portfolio baharu ini direka untuk menangani jurang tersebut dan membina kapasiti secara menyeluruh.

 

“Langkah ini selaras dengan agenda AI nasional Malaysia dan penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada penghujung 2024, yang bertujuan menyelaras dasar, inovasi dan pembangunan bakat AI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Malaysia kini menekankan penggunaan AI merentas sektor kerajaan dan industri, dengan harapan teknologi ini dapat diterapkan secara bertanggungjawab dalam operasi harian dan bukan hanya pada projek perintis.

 

Seiring dengan transformasi digital negara melalui Pelan Tindakan MyDIGITAL, ekonomi digital Malaysia kini menyumbang lebih 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menekankan peranan AI dan teknologi termaju dalam menyokong pertumbuhan.

 

Pertumbuhan penggunaan AI di Malaysia mencakupi sektor kewangan, pembuatan, perkhidmatan serta inisiatif kerajaan digital. Keadaan ini meningkatkan permintaan terhadap profesional yang mampu menggunakan AI secara berdisiplin.

 

Tambahnya, organisasi kini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja menguasai AI, tetapi juga mampu melindungi sistem daripada ancaman baharu serta melaksanakan tadbir urus yang berkesan.

 

“Cabaran utama bagi kebanyakan organisasi bukan lagi minat terhadap AI, tetapi kekurangan profesional yang bersedia untuk melaksanakan AI secara selamat dan bertanggungjawab pada skala besar.

 

“Portfolio Enterprise AI Credential Suite menekankan latihan berasaskan peranan, membolehkan profesional membangunkan kemahiran praktikal dalam pengurusan kitaran hayat AI,” katanya.

 

t

 

Empat pensijilan baharu diperkenalkan: Artificial Intelligence Essentials (AIE) sebagai asas literasi AI, Certified AI Program Manager (CAIPM) untuk memacu strategi AI, Certified Offensive AI Security Professional (COASP) bagi keselamatan model bahasa besar, dan Certified Responsible AI Governance & Ethics Professional (CRAGE) untuk tadbir urus dan etika AI.

 

Program AIE disokong oleh rangka kerja EC-Council, Adopt. Defend. Govern. (ADG), yang menetapkan garis panduan bagaimana AI dilaksanakan, dilindungi, dan diurus secara sistematik pada skala besar dalam persekitaran sebenar.

 

Adopt (Terima Pakai) – Menyediakan pasukan untuk melaksanakan AI secara terancang dengan tahap kesiapsiagaan dan perlindungan yang sesuai.

 

Defend (Pertahan) – Melindungi sistem AI daripada risiko baharu termasuk prompt injection, kemusnahan data, eksploitasi model dan kompromi rantaian bekalan AI.

 

Govern (Tadbir) – Mengintegrasikan akauntabiliti, pemantauan dan pengurusan risiko dalam sistem AI sejak peringkat awal pelaksanaannya.

 

Sejajar dengan struktur ini, empat pensijilan baharu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sepanjang kitaran hayat AI:

•    Artificial Intelligence Essentials (AIE) – Membina literasi dan pemahaman asas mengenai AI.

•    Certified AI Program Manager (CAIPM) – Melengkapkan profesional untuk menterjemah strategi AI kepada pelaksanaan dengan menyelaraskan pasukan, tadbir urus dan penyampaian bagi memacu pulangan pelaburan (ROI) yang boleh diukur serta kecerdasan pada skala perusahaan.

•    Certified Offensive AI Security Professional (COASP) – Membina keupayaan untuk menguji kelemahan dalam model bahasa besar (LLM), mensimulasikan eksploitasi serta mengukuhkan infrastruktur AI bagi melindungi organisasi daripada ancaman baharu.

    Certified Responsible AI Governance & Ethics Professional (CRAGE) – Memberi tumpuan kepada AI Bertanggungjawab, tadbir urus dan etika pada skala perusahaan selaras dengan pematuhan piawaian antarabangsa seperti NIST dan ISO.

 

Tambahnya, seiring dengan pengenalan pensijilan AI baharu ini, Certified CISO v4 turut dikemas kini bagi memperkukuh pendidikan kepimpinan keselamatan siber dalam persekitaran risiko yang dipacu AI. 

 

“Program ini meningkatkan kesiapsiagaan pemimpin apabila sistem pintar menjadi sebahagian daripada operasi teras perniagaan dan proses membuat keputusan keselamatan.

 

“Kerjasama EC-Council dengan organisasi kerajaan dan pertahanan juga diteruskan, termasuk pengiktirafan pensijilan asas DoD 8140, selaras dengan kepentingan keselamatan AI sebagai agenda nasional Malaysia,” katanya.

 

Orang ramai yang berminat untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian latihan dan pensijilan EC-Council, termasuk kursus AI boleh melayari laman rasmi EC-Council di [www.eccouncil.org](http://www.eccouncil.org). - DagangNews.com