Dialog berpotensi teroka fasa pertumbuhan disokong 6 projek baharu sehingga FY28, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog berpotensi teroka fasa pertumbuhan disokong 6 projek baharu sehingga FY28, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Feb — Keupayaan pelaksanaan projek dalam 12 bulan akan datang menjadi penentu utama sama ada Dialog Group Berhad mampu merealisasikan potensi fasa pertumbuhan pelbagai tahun.


Menurut Maybank Investment Bank, kumpulan itu berada pada kedudukan kukuh untuk memasuki kitaran pertumbuhan FY26 hingga FY28, disokong projek baharu serta garis masa pengeluaran medan huluan.


Justeru, ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP) RM2.21 sesaham dan menjadikan syarikat ini sebagai pilihan utama bagi sektor minyak dan gas (O&G).


"Sekurang-kurangnya ada empat aset utama Dialog dijangka menyumbang hasil sulung mulai FY27, antaranya tangki bahan api boleh diperbaharui berkapasiti 150,000 meter padu," kata firma berkenaan.


Kemudahan tersebut jelas Maybank IB, untuk EcoCeres yang dijangka beroperasi pada 1QFY27, manakala unit pemisahan udara berasaskan gas asli cecair (LNG) bersama PETRONAS Gas Berhad bermula 2QFY27.


Sementara itu, pengeluaran gas pertama daripada Baram Junior Cluster pada separuh kedua FY27, dan peningkatan aktiviti hiliran selari dengan Pelan Tinjauan Aktiviti 2026–2028 oleh PETRONAS.


Kata firma tersebut, Baram Junior Cluster dianggarkan memiliki rizab 137 bilion kaki padu gas, dan walaupun belum ada sumbangan hasil, medan ini dijangka memberi impak yang positif kepada Dialog.


"Bagi FY28 pula, dua projek pengembangan tangki simpanan dijangka siap, termasuk PT2 berkapasiti 272,000 meter padu bagi Pengerang Biorefinery, melibatkan usaha sama tiga pihak," kata Maybank IB.


Di samping itu jelasnya, pengembangan PT5 berkapasiti 614,000 meter padu untuk BP Singapore Pte Limited, dengan secara keseluruhan, enam projek bakal direalisasikan dalam FY27 hingga FY28.


Perkembangan positif ini tambahnya, dijangka mengukuhkan aliran pendapatan secara berulang Dialog daripada aset terminal tangki segmen pertengahan, yang terkenal dengan kestabilan aliran tunai.


Maybank IB menambah, kumpulan itu masih memiliki kira-kira 243 hektar tanah kosong di Pengerang untuk perluasan masa depan, tetapi tidak menjangkakan sebarang projek terminal tangki baharu.


"Sehubungan itu, kami berpandangan tiada apa-apa projek tersebut dalam tempoh enam bulan akan datang memandangkan tumpuan kini adalah kepada pelaksanaan projek Dialog sedia ada," jelasnya.


Bagaimanapun kata firma berkenaan, tempoh 12 bulan yang akan datang amat kritikal untuk kumpulan tersebut dapat membuktikan keupayaan pelaksanaan dan penghantaran projek mengikut jadual.


Oleh itu, Maybank IB mengekalkan unjuran hasil FY26 hingga FY28, serta yakin gabungan projek huluan dan hiliran bakal meletakkan Dialog dalam pertumbuhan mampan. - DagangNews.com