Cropmate terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cropmate terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Syarikat baja, Cropmate terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Sept - Cropmate Berhad menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat baja itu melibatkan terbitan awam kira-kira 210 juta saham biasa baharu dalam Cropmate mewakili 28.4% daripada jumlah yang saham diperbesarkan iaitu sebanyak 738 juta saham yang diterbitkan. 

 

Sebanyak 50 juta saham lagi ditawarkan untuk jualan, mewakili 6.8% daripada jumlah yang diperbesarkan sebanyak 738 juta saham yang diterbitkan.

 

Pengarah Urusan Cropmate Berhad, Lee Chin Yok berkata, sebagai syarikat baja pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, penyenaraian ini mewakili pencapaian penting untuk Cropmate.

 

"Ia bukan sahaja meningkatkan profil kami tetapi juga meletakkan kami secara strategik dalam pasaran, membolehkan kami meluaskan jangkauan dan impak kami merentasi sektor pertanian Malaysia. 

 

"IPO membuka pintu kepada pasaran modal, memberikan kami sumber yang diperlukan untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya dan mengukuhkan kepimpinan kami dalam industri baja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

lee
LEE CHIN YOK

 

Beliau menambah, dana yang dikumpul akan menyokong inisiatif strategik syarikat terutamanya menaik taraf proses penimbangan automatik, menubuhkan makmal penyelidikan & pembangunan dan ujian, membeli peralatan dan kenderaan serta pemerolehan kilang, iaitu Lot Kilang 8949 dan Kilang Lot 8950 yang merupakan kemudahan operasi sedia ada.

 

"Langkah ini sejajar dengan visi jangka panjang kami untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan pertanian di Malaysia.

 

"Dengan terus berinovasi dan menambah baik penawaran baja, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Cropmate sebagai rakan kongsi yang dipercayai kepada petani dan peneraju dalam pasaran baja,” jelasnya.

 

CROP2
Produk baja Cropmate dibekalkan lazimnya kepada pemilik ladang sawit dan durian.

 

Ditubuhkan pada 2018, penawaran produk syarikat termasuk baja konvensional yang terdiri daripada baja padat dan campuran, serta baja khusus yang terdiri daripada baja separa organik, organik dan cecair untuk memenuhi keperluan nutrien tumbuhan meliputi dari peringkat semaian, berbunga dan matang.

 

Cropmate juga terlibat dalam perdagangan baja lurus dan produk berkaitan.  

 

Hasil kumpulan direkodkan sebanyak RM151.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 2023 dengan segmen rumusan dan pengadunan merupakan penyumbang utama dengan RM112.1 juta manakala segmen dagangan menyumbang kira-kira RM39.4 juta mewakili 26.0% bagi tahun kewangan berakhir 2023. 

 

Kesemua baja itu dihasilkan di kemudahan mereka di Klang, Selangor. Produk Cropmate biasanya dibekalkan kepada pemilik ladang dan kebun  kelapa sawit dan dusun durian serta peniaga.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Pemilik Buku. - DagangNews.com