KUALA LUMPUR 18 Ogos - Langkah CelcomDigi Berhad (CDB), Maxis Berhad dan YTL Power International Berhad (YTLP) melanjutkan pendahuluan saham masing-masing sebanyak RM116.7 juta kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dilihat amat baik, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, tindakan tiga syarikat telekomunikasi itu dijangka memastikan DNB sebagai penyedia tunggal rangkaian 5G negara terus kekal berdaya saing dalam landskap industri yang semakin mencabar.
Katanya, suntikan dana terkini berkenaan telah menjadikan jumlah kumulatif yang disalurkan oleh setiap syarikat kepada DNB mencecah RM350.0 juta, termasuk suntikan terdahulu berjumlah RM233.2 juta.
Secara keseluruhan, komitmen DNB termasuk pegangan Kementerian Kewangan kini mencecah RM750.3 juta dan dana tambahan ini dilihat sebagai langkah kritikal untuk mengekalkan kedudukan DNB sebagai pemain utama dalam sektor 5G.
"Ini susulan kemunculan U Mobile membangunkan rangkaian 5G kedua negara kerana syarikat itu menyasarkan liputan populasi 5G sebanyak 80% menjelang separuh kedua 2026, serta berpotensi mengalihkan minat pengguna serta penyedia perkhidmatan lain daripada DNB," kata TA Securities dalam notanya.
Tanpa ada sokongan kewangan secara berterusan daripada pemegang saham, DNB berisiko boleh kehilangan daya saing dalam menyediakan liputan dan kualiti rangkaian 5G yang sepadan dengan pasaran semasa.
Dana yang disalurkan adalah dalam bentuk pendahuluan tanpa faedah, yang hanya akan dibayar semula mengikut persetujuan bersama, dan berpotensi dianggap sebagai prabayaran bagi kos akses 5G.
Usaha itu bagi memastikan ketelusan penggunaan dana, dengan DNB telah menubuhkan satu jawatankuasa pemandu bagi memantau pengurusan modal kerja dan melaporkan perkembangan kepada pemegang saham secara berkala.
"Selain itu, kedudukan kewangan CDB dan Maxis dilihat cukup kukuh untuk menyokong pembiayaan ini secara dalaman, dengan tunai masing-masing berjumlah RM640.8 juta dan RM1.2 bilion setakat tempoh 1QFY25," katanya.
TA Securities terus mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi, memandangkan hasil perkhidmatan dijangka kekal stabil meskipun dalam persekitaran yang kompetitif.
Bagaimanapun fokus industri berkenaan kata firma itu, dijangka kekal pada penawaran nilai berbanding perang harga yang tidak rasional.
Dalam kalangan saham liputan firma itu, saranan ‘beli’ dikekalkan bagi Axiata Group Berhad dengan harga sasaran (TP) sesaham RM3.09, CDB (TP: RM4.50) dan Telekom Malaysia Bhd (TP: RM8.30).
Sementara itu tambahnya, hanya Maxis diberi saranan ‘pegang’ dengan TP RM3.68. "Antara risiko utama termasuk tekanan harga tidak dijangka dan perubahan dasar kawal selia yang boleh memberi kesan negatif kepada margin keuntungan syarikat-syarikat berkaitan," katanya. - DagangNews.com








