KUALA LUMPUR 15 Ogos – CelcomDigi Bhd telah menyediakan pendahuluan pemegang saham tambahan berjumlah RM116,666,667 kepada Digital Nasional Berhad (DNB) pada 15 Ogos 2025, selaras dengan perjanjian pemegang saham bertarikh 28 Jun 2025 dan pindaan bertarikh 13 Mei 2025.
Pendahuluan tersebut dibuat mengikut “Nisbah Dipersetujui” dalam kalangan pemegang saham DNB dan tidak dikenakan faedah. Ia tidak boleh dituntut bayaran balik atas permintaan, sebaliknya hanya akan dibayar semula apabila dipersetujui bersama oleh DNB, tertakluk kepada terma yang ditetapkan dalam perjanjian.
Setiap ringgit daripada pendahuluan ini membawa hak yang sama seperti satu saham biasa dalam DNB, termasuk hak menghadiri, mengambil bahagian, berucap dan mengundi dalam mesyuarat pemegang saham.
Pendahuluan ini juga boleh dianggap sebagai bayaran pendahuluan di bawah perjanjian capaian (Access Agreement) antara syarikat berkaitan CelcomDigi dan DNB, mengikut syarat yang ditetapkan.
Selepas penglibatan semua pemegang saham, struktur pembiayaan DNB kini adalah seperti berikut:
MOF Inc.: RM500.1 juta modal saham, RM250.2 juta pendahuluan tambahan (41.67%).
YTL Power International Bhd: RM0.13 juta modal saham, RM233.2 juta pendahuluan sedia ada, RM116.7 juta pendahuluan tambahan (19.44%).
CelcomDigi Bhd: RM0.13 juta modal saham, RM233.2 juta pendahuluan sedia ada, RM116.7 juta pendahuluan tambahan (19.44%).
Maxis Broadband Sdn Bhd: RM0.13 juta modal saham, RM233.2 juta pendahuluan sedia ada, RM116.7 juta pendahuluan tambahan (19.44%).
CelcomDigi menjelaskan bahawa dana ini akan digunakan oleh DNB untuk memenuhi keperluan modal kerja.
Namun, syarikat turut menggariskan dua faktor risiko utama – kemungkinan tekanan terhadap pendapatan DNB berikutan pelancaran rangkaian 5G kedua oleh U Mobile, dan keperluan pembiayaan tambahan di masa depan bagi memastikan kelestarian serta kualiti perkhidmatan 5G.
Berhubung kepentingan pihak berkaitan, CelcomDigi memaklumkan bahawa MoF Inc. merupakan pemegang saham tidak langsung CelcomDigi melalui beberapa lapisan pegangan: MoF Inc. adalah syarikat induk kepada DNB dan Khazanah Nasional Berhad; Khazanah pula memegang 36.70% saham dalam Axiata Group Berhad; dan Axiata memiliki 33.1% pegangan dalam CelcomDigi.
Justeru, MoF Inc. dianggap sebagai pemegang saham utama berkepentingan dalam transaksi ini.
Selain itu, tiga pengarah CelcomDigi iaitu Tengku Dato’ Sri Azmil Zahruddin Bin Raja Abdul Aziz, Vivek Sood dan Nik Rizal Kamil Bin Nik Ibrahim Kamil yang dilantik oleh Axiata, telah dan akan terus berkecuali daripada semua perbincangan dan undian berkaitan pendahuluan ini di mesyuarat lembaga pengarah.
Jawatan Kuasa Audit Lembaga CelcomDigi berpandangan bahawa langkah ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat, dibuat atas terma komersial biasa, adil dan munasabah, serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti. Lembaga Pengarah (kecuali pengarah berkepentingan) turut sependapat dengan penilaian tersebut.
Menurut CelcomDigi, kadar peratusan tertinggi bagi transaksi ini di bawah peraturan Bursa Malaysia ialah 0.72% berdasarkan penyata kewangan beraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com








