KUALA LUMPUR 11 Feb – UEM Edgenta Berhad memohon kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk melanjutkan tempoh pengedaran dokumen nasihat bebas berkaitan cadangan Pengurangan Modal dan Pembayaran Balik Terpilih (SCR) daripada 13 Februari 2026 kepada 6 Mac 2026.
CIMB Investment Bank Berhad memaklumkan bahawa pihaknya bersama Berjaya Securities Sdn Bhd yang bertindak sebagai penasihat bebas untuk transaksi itu telah mengemukakan permohonan tersebut kepada SC di bawah perenggan 1.12 Kaedah-kaedah Pengambilalihan, Penggabungan dan Pemerolehan Wajib.
“Permohonan itu adalah bagi mendapatkan kelulusan lanjutan tempoh daripada 13 Februari 2026 kepada 6 Mac 2026 untuk penghantaran dokumen skim, termasuk surat nasihat bebas kepada pemegang saham,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Cadangan SCR tersebut dilaksanakan selaras dengan Seksyen 116 Akta Syarikat 2016 dan merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan modal UEM Edgenta.
ARTIKEL BERKAITAN: UEM Edgenta bakal dinyahsenarai, pemegang saham minoriti ditawar RM1.10 sesaham
Tawaran RM1.10 sesaham, yang pertama kali diumumkan oleh UEM Group Bhd pada 28 November 2025, melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM282.32 juta kepada pemegang saham minoriti.
UEM Group, sebagai pemegang saham majoriti, tidak akan menerima sebarang pembayaran dan akan mengambil pemilikan penuh UEM Edgenta, yang kemudiannya akan dikeluarkan daripada penyenaraian Bursa Malaysia.
Cadangan ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham minoriti, pengesahan Mahkamah Tinggi dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Setakat 31 Disember 2025, UEM Group dan rakan kongsinya memegang 69.14%, manakala 30.86% dimiliki oleh pemegang saham minoriti yang layak menerima pembayaran tunai. - DagangNews.com








