KUALA LUMPUR 12 Jan – Pelan UEM Group Bhd untuk mengambil alih sepenuhnya UEM Edgenta Bhd dan seterusnya menswastakan syarikat itu semakin menghampiri realisasi apabila lembaga pengarah UEM Edgenta bersetuju membentangkan cadangan pengurangan dan pembayaran balik modal terpilih pada harga RM1.10 sesaham untuk kelulusan pemegang saham.
Pada 9 Januari 2026, pengarah bukan berkepentingan UEM Edgenta telah meluluskan untuk membawa cadangan tersebut ke mesyuarat agung luar biasa (EGM), dengan Berjaya Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat bebas bagi menilai kewajaran dan keadilan tawaran itu.
Cadangan tersebut susulan pengumuman awal oleh UEM Group pada 28 November 2025.
Menurut CIMB Investment Bank Bhd, yang membuat pengumuman bagi pihak syarikat, pelaksanaan latihan itu melibatkan jumlah pembayaran tunai sebanyak RM282.32 juta kepada pemegang saham minoriti.
UEM Group, selaku pemegang saham majoriti dan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, tidak akan menerima sebarang bayaran di bawah pelaksanaan berkenaan.
Setelah selesai, UEM Group akan memiliki 100% kepentingan dalam UEM Edgenta dan seterusnya menyahsenaraikan syarikat itu daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Setakat 31 Dis 2025, UEM Group bersama pihak yang bertindak secara bersama memiliki 69.14% kepentingan dalam UEM Edgenta, manakala baki 30.86% dipegang oleh pemegang saham minoriti yang layak menerima bayaran tunai.
Semua saham selain yang dipegang oleh UEM Group akan dibatalkan selepas latihan itu disempurnakan.
Menurut UEM Group, penswastaan itu akan memberi fleksibiliti lebih besar kepada kumpulan untuk mengurus perniagaan UEM Edgenta dalam persekitaran operasi yang mencabar, mengambil kira prestasi pasca pandemik yang sederhana, kos yang meningkat serta pembayaran dividen yang lebih rendah berbanding sebelum 2020.
Harga tawaran RM1.10 bagi baki 257 juta saham yang mewakili kepentingan 30.86% itu mencerminkan premium 6.8% berbanding harga dagangan terakhir RM1.03, serta premium 26.4% berbanding paras 87 sen pada tarikh pengumuman penswastaan pada 27 Nov 2025.
Latihan tersebut akan dibiayai melalui gabungan pendahuluan pemegang saham daripada UEM Group serta dana dalaman yang dijana, dengan CIMB mengesahkan sumber kewangan mencukupi untuk melunaskan sepenuhnya pembayaran kepada pemegang saham yang layak.
Cadangan berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham minoriti, pengesahan Mahkamah Tinggi serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, dan dijangka diselesaikan pada suku kedua 2026 sekiranya semua syarat dipenuhi. - DagangNews.com








