Buku tempahan Wasco berjaya lepasi RM3 bilion buat pertama kali disokong kontrak baharu – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan Wasco berjaya lepasi RM3 bilion buat pertama kali disokong kontrak baharu – PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 DisWasco Berhad berjaya mencatatkan buku tempahan yang melebihi RM3 bilion buat pertama kali, disokong oleh kontrak baharu bernilai RM825.8 juta daripada Technip Energies dari Itali.


Public Investment Bank berkata, tender kukuh itu bagi kerja kejuruteraan, perolehan dan fabrikasi modul proses untuk fasiliti berskala besar yang dijangka dapat disiapkan menjelang 31 Disember 2028.


Tambah firma penyelidikan tersebut, pemerolehan kontrak itu menandakan kemenangan besar pertama syarikat berkenaan pada tahun ini yang melonjakkan buku tempahannya mencecah kepada RM3.4 bilion.


"Angka itu melepasi paras RM3 bilion buat pertama kali sejak 3QFY24, dan kami menilai pencapaian ini sebagai peningkatan keyakinan pendapatan sederhana jangka," katanya dalam satu nota hari ini.


Selain itu jelas PublicInvest, kejayaan Wasco meraih tender besar tersebut dinilai berupaya dalam menyokong strategi kumpulan berkenaan untuk peralihan kepada infrastruktur tenaga rendah karbon.


Berdasarkan perkembangan itu, firma tersebut menaikkan unjuran hasil FY25 hingga FY27 sebanyak 6%, sejajar pengukuhan buku tempahan melebihi anggaran awal RM2.6 bilion kepada RM2.8 bilion setahun.


Bagaimanapun, ia turut menekankan bahawa pendapatan Wasco masih sensitif terhadap margin projek dan campuran pelaksanaan, yang boleh memberi banyak kesan ketara secara tempoh suku tahunan.


"Kontrak berkaitan projek BluePoint Number One ATR di Louisiana, Amerika Syarikat itu bertujuan membangunkan loji ammonia yang berpotensi rendah karbon paling besar di dunia," kata PublicInvest.


Ia usaha sama melibatkan tiga syarikat dan dijangka memberi prospek pertumbuhan positif kepada kumpulan itu kerana kapasiti 1.4 juta tan setahun dan kecekapan pengekalan karbon melebihi 95%.


Justeru, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Wasco dengan harga sasaran RM1.03, setelah melihat kontrak baharu ini sebagai tanda jelas pemulihan buku tempahan.


Di samping itu, ia menunjukkan isyarat yang positif selepas empat suku berturut-turut mencatat pertumbuhan lemah akibat ketegangan perdagangan global dan kelewatan pelaburan. - DagangNews.com