Brunei seru ASEAN terus bersatu hadapi cabaran geopolitik, perubahan iklim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Brunei seru ASEAN terus bersatu hadapi cabaran geopolitik, perubahan iklim

Putera Abdul Mateen Bolkiah -Kredit IG tmski
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Brunei menyeru negara anggota ASEAN supaya memperkukuh sistem antarabangsa berasaskan peraturan serta meningkatkan tindakan bersama dalam menangani cabaran serantau dan global, termasuk perubahan iklim serta isu keselamatan.

 

Menteri Luar Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah berkata keperluan dan kepentingan ASEAN perlu terus menjadi asas utama dalam hubungan blok itu dengan rakan kongsi luar.

 

“ASEAN perlu terus memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau kekal terpelihara dalam menghadapi perubahan geopolitik dunia yang semakin kompleks,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-59 di Manila, yang menghimpunkan menteri luar negara anggota ASEAN bagi membincangkan hala tuju komuniti ASEAN serta hubungan dengan negara luar.

 

Putera Abdul Mateen turut menggalakkan negara-negara yang menyokong prinsip Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC) supaya menyertai perjanjian berkenaan.

 

Menurut Baginda, penyertaan lebih banyak negara dalam TAC dapat membantu mengukuhkan komitmen bersama terhadap keamanan, kestabilan dan hubungan kerjasama di Asia Tenggara.

 

Perubahan iklim antara keutamaan kerjasama ASEAN

Dalam isu perubahan iklim, Putera Abdul Mateen menegaskan ASEAN perlu mempertingkatkan kerjasama bagi menangani kesan perubahan iklim yang semakin memberi cabaran kepada negara-negara anggota.

 

Baginda turut menekankan peranan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Brunei Darussalam dalam menyelaras inisiatif serantau berkaitan perubahan iklim pada masa hadapan.

 

“Kerjasama lebih erat antara negara ASEAN amat penting bagi memastikan rantau ini mempunyai pendekatan yang lebih berkesan dalam menghadapi risiko berkaitan iklim,” katanya.

 

Terdahulu, Putera Abdul Mateen menghadiri majlis perasmian mesyuarat berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina yang disempurnakan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa Lazaro.

 

t

 

ASEAN terus fokus kepada diplomasi dan penyelesaian aman

Menteri luar ASEAN turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk keadaan di Timur Tengah serta kesannya terhadap ekonomi dan masyarakat Asia Tenggara.

 

Putera Abdul Mateen menegaskan kepentingan mengekalkan saluran komunikasi terbuka serta menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap berhati-hati dan menyelesaikan perbezaan secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa.

 

Selain itu, baginda menyertai perbincangan tidak rasmi lanjutan bersama menteri luar ASEAN berkaitan perkembangan politik di Myanmar dan usaha melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN .

 

“Brunei menghargai usaha Thailand yang menjadi tuan rumah pertemuan tidak rasmi berkaitan Myanmar di Bangkok baru-baru ini,” katanya yang menyifatkan proses perdamaian yang inklusif dengan melibatkan semua pihak di negara tersebut sangat penting.

 

Di luar mesyuarat, Putera Abdul Mateen turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavan Phomvihane.

 

Dalam pertemuan bersama Dr Kao, baginda menghargai sokongan Sekretariat ASEAN terhadap usaha membina komuniti serantau serta pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045. 

 

Sementara itu, pertemuan dengan Thongsavan menyaksikan kedua-dua pihak menyambut baik kemajuan hubungan strategik Brunei-Laos, khususnya dalam perdagangan, pertahanan, pendidikan dan hubungan rakyat.

 

Putera Abdul Mateen bersama isteri turut menghadiri majlis makan malam gala yang dianjurkan oleh Lazaro di Museo del Galeón bersama menteri luar ASEAN, wakil rakan dialog serta rakan kongsi luar ASEAN. - DagangNews.com