KUALA LUMPUR 24 Jun – Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) berkata kelemahan ringgit baru-baru ini mencerminkan pembetulan pasaran yang dipacu faktor global serta pelarasan portfolio oleh pelabur asing, namun asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan menyokong mata wang negara.
Jawatankuasa itu yang bermesyuarat pada 23 Jun 2026 berkata pergerakan ringgit dan mata wang serantau masih banyak dipengaruhi perkembangan luar, termasuk jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi susulan tekanan inflasi yang berterusan.
Walaupun ketegangan geopolitik sedikit reda selepas perjanjian damai sementara antara Amerika Syarikat dan Iran, pelabur global masih memberi tumpuan kepada kemungkinan dasar monetari AS yang lebih ketat, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap dolar AS.
Pelabur asing lebih berhati-hati
FMC memaklumkan pelabur bukan pemastautin (NR) telah mengurangkan pegangan dalam aset Malaysia selepas prestasi kukuh ringgit pada awal tahun ini.
Dengan tumpuan kini beralih kepada pilihan raya negeri di Malaysia, pelabur asing dilihat mengambil pendekatan lebih neutral dalam penyusunan semula portfolio mereka.
Keadaan ini menyebabkan ringgit melemah berbanding dolar AS pada Jun, turut dipengaruhi aktiviti lindung nilai yang meningkat serta pelarasan semula ekuiti susulan semakan indeks MSCI pada Mei yang menyaksikan enam saham Malaysia dikeluarkan daripada Indeks MSCI Malaysia.
Walaupun berlaku penyusutan, jawatankuasa itu berkata keadaan pasaran pertukaran asing domestik masih teratur dan stabil.
Purata dagangan harian pertukaran asing meningkat kepada AS$21.3 bilion pada 2026 berbanding AS$19.8 bilion pada 2025, disokong aliran dua hala yang seimbang. Aktiviti pertukaran asing oleh korporat juga kekal seperti jangkaan.
BNM terus perkukuh sokongan pasaran
FMC berkata asas makroekonomi Malaysia kekal memberangsangkan, disokong oleh data perdagangan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta inflasi yang stabil.
“Profil ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menyokong ringgit dalam jangka masa panjang,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.
Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia akan terus memantau perkembangan pasaran kewangan dengan teliti bagi memastikan keadaan pasaran kekal teratur.
BNM juga berkata usaha memperkukuh aliran masuk ringgit akan diteruskan dan dipertingkatkan, termasuk melalui Program Pelabur Pemastautin Berkualifikasi (QRI) serta libat urus dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan korporat bagi menggalakkan pengaliran pulang serta penukaran pendapatan luar negara.
FMC ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2016 dan dianggotai oleh wakil bank pusat, institusi kewangan, syarikat korporat serta peserta utama dalam pasaran kewangan negara. - DagangNews.com








