KUALA LUMPUR 7 Julai - Jabatan Perdana Menteri (PMO) menjelaskan kenderaan BMW kalis peluru yang digunakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA).
Dalam kenyataan malam tadi, PMO berkata kenderaan tersebut "bukan kenderaan rasmi baharu YAB Perdana Menteri".
“Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan polis berikutan kenderaan rasmi YAB Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani penyelenggaraan,” kata kenyataan itu.
JPM berkata, kenderaan berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan ketua negara dan ketua kerajaan bertaraf presiden atau perdana menteri sempena lawatan rasmi ke Malaysia, selaras dengan keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa.
“Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.”
ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan rasmi PM Anwar, BMW 7 Series Protection versi kalis peluru dan letupan tarik perhatian ramai
Kenyataan berkenaan dibuat susulan artikel diterbitkan oleh portal permotoran yang menyebut Anwar menaiki ‘kenderaan rasmi perdana menteri’ model BMW 7 Series G70.
Portal berkenaan melaporkan ‘Kereta rasmi PMX Anwar Ibrahim – BMW 7 Series Protection; kalis peluru, V8 4.4L Twin turbo, 530 PS’.
Kenderaan BMW yang digunakan tersebut merupakan 7 Series Protection dan dibangunkan terus oleh BMW di kilangnya di Dingolfing, Jerman menerusi struktur badan BMW Protection Core, yang menggabungkan keluli panas berperisai sebagai sebahagian daripada struktur utama kenderaan.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan, kenderaan itu turut dilengkapi bumbung dan bahagian bawah badan tahan letupan bagi melindungi penumpang daripada ancaman bom tangan dan serangan dron, selain menggunakan cermin keselamatan khas dengan lapisan polikarbonat.
BMW turut memasang tangki bahan api jenis self-sealing yang mampu menghalang kebocoran sekiranya ditembusi peluru.
Dari aspek mobiliti, model berkenaan menggunakan tayar Michelin Primacy 4 yang dipadankan dengan teknologi PAX Run-Flat, membolehkan kenderaan terus dipandu pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam walaupun mengalami kebocoran tayar. - DagangNews.com








