KUALA LUMPUR 7 Julai – Klanggroup Holdings Sdn Bhd menerusi syarikat tujuan khas milik penuhnya, Klanggroup Capital Berhad, telah mengemukakan Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM3 bilion dan Program Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai RM1.0 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang distrukturkan berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
Program Sukuk Wakalah itu menerima penarafan awal AA3(s)/Stabil bagi IMTN dan P1(s) bagi ICP daripada RAM Rating Services Berhad.
Penarafan tersebut mencerminkan profil kredit Klanggroup sebagai penjamin korporat, dengan jaminan itu merupakan obligasi langsung, tanpa subordinasi dan tanpa syarat yang mempunyai kedudukan pari passu dengan obligasi lain kumpulan yang tidak bersubordinasi, tanpa syarat dan tidak bercagar.
Program berkenaan yang dikenali secara kolektif sebagai Program Sukuk Wakalah itu menandakan langkah sulung kumpulan berkenaan dalam pasaran modal Islam Malaysia.
Klanggroup, yang sebelum ini dikenali sebagai WorldKlang Group Holdings Sdn Bhd, merupakan pemaju hartanah tempatan yang mengkhusus dalam pembangunan tanah industri dan kilang.
Hasil terbitan daripada Program Sukuk Wakalah itu akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan modal, modal kerja, tujuan korporat am, pembangunan projek, pelaburan serta pemerolehan aset yang sedang dan akan dilaksanakan pada masa hadapan.
Pengeluaran dana di bawah program berkenaan akan dibuat secara berperingkat sepanjang tempoh program dengan mengambil kira peluang pelaburan dan pembelian bank tanah, keperluan modal kerja serta sumber pembiayaan alternatif kumpulan.
Platform pembiayaan fleksibel sokong pertumbuhan jangka panjang

Pengarah Eksekutif Klanggroup Holdings, Danny Ong berkata, Program Sukuk Wakalah sulung itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan kumpulan selepas lebih sedekad beroperasi.
"Selama lebih sedekad, kami membangunkan Klanggroup berasaskan keyakinan bahawa pembangunan industri yang terletak di lokasi strategik dan dibina dengan baik mampu mewujudkan nilai berkekalan kepada perniagaan serta komuniti sekitarnya.
"Program Sukuk Wakalah sulung ini membuka lembaran baharu buat kami sebagai langkah pertama memasuki pasaran modal Islam, selain mencerminkan keyakinan terhadap asas kukuh yang telah kami bina selama ini," katanya.
Beliau berkata, Program Sukuk Wakalah itu menyediakan alternatif pembiayaan yang kukuh dan fleksibel bagi menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Hong Leong Investment Bank Berhad dilantik sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama dan Pengurus Utama bagi Program Sukuk Wakalah berkenaan.
Program itu turut mendapat khidmat nasihat Syariah daripada Prof. Datuk Dr. Aznan Hasan sebagai Penasihat Syariah, manakala Lee Choon Wan & Co. bertindak sebagai peguam cara.
Kembangkan portfolio industri dengan GDV melebihi RM5 bilion
Klanggroup mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam pembangunan tanah industri dan kilang menerusi jenama Excellent Technology Park dan K International Industrial Park.
Kedudukan awal kumpulan di koridor industri utama, khususnya Klang-Meru, selain lokasi berhampiran Pelabuhan Klang, menyokong kadar pengambilan yang menggalakkan merentasi kitaran pasaran hartanah, didorong oleh asas pembeli yang kebanyakannya merupakan pemilik dan pengendali perniagaan.
Sehingga akhir Disember 2025, kumpulan itu telah menyiapkan atau sedang melaksanakan projek meliputi lebih 800 ekar (324 hektar) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM5 bilion.
Klanggroup turut mempunyai baki bank tanah kira-kira 550 ekar (223 hektar) dengan anggaran GDV sebanyak RM3.4 bilion.
Bagi tahun 2025, kumpulan itu mencatatkan hasil kira-kira RM900 juta, disokong oleh keupayaan pembinaan dalaman serta pelaksanaan projek yang berdisiplin.
Klanggroup berkata, visi kumpulan adalah untuk membangunkan hartanah praktikal dan mampan yang mampu meningkatkan nilai aset secara cekap, di samping memperkukuh kecekapan operasi perniagaan serta kualiti hidup pihak berkepentingan. - DagangNews.com








