KUALA LUMPUR 7 Nov – Susulan kejayaan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) semasa International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS25) baru-baru ini, BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) kini melangkah ke fasa pelaksanaan kerjasama strategik bagi memacu inovasi, pelaburan dan kemampanan dalam pembangunan bioekonomi negara.
Menurut kenyataan bersama hari ini, kedua-dua organisasi itu kini meneliti enam teras utama pelaksanaan kerjasama berkenaan sebagai panduan strategik dalam memperkukuh pembangunan bioekonomi negara.
Enam teras tersebut merangkumi usaha mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan, menjana nilai mampan dalam rantaian industri bio, memupuk inovasi dan penyelidikan, memperkukuh pembangunan ekosistem serta bakat tempatan, selain berkongsi maklumat pasaran dan memajukan bioekonomi mampan di Sarawak dan Malaysia.
Sebagai tumpuan awal, Bioeconomy Corporation dan BVT kini bekerjasama membangunkan Sarawak Bioeconomy Roadmap, satu inisiatif negeri yang sedang dirangka untuk menyelaras inovasi dan pengkomersialan biodiversiti Sarawak selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (NBP 2.0).
BVT, melalui mandat Lembaga Pengarahnya, turut menyokong usaha antara agensi melibatkan penyelidik, industri dan kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan dasar bioekonomi lebih inklusif dan berimpak tinggi.
MoU tersebut, yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, dimeterai oleh Pengerusi, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi pihak BVT Ts. Hazwan Razak serta Pengerusi, Datuk Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pegawai Eksekutif , Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak bagi pihak Bioeconomy Corporation.
Kerjasama ini turut meneruskan momentum IDECS25 dan National Bioeconomy Showcase 2025 (NBiOSHOWCASE) yang sebelum ini menjana potensi pelaburan melebihi RM300 juta dalam sektor bio berasaskan hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif BVT, Ts. Hazwan Razak berkata, fasa baharu ini menandakan peralihan daripada strategi kepada tindakan konkrit.
“Kami menghubungkan sains dan perusahaan, memastikan inovasi berasaskan biodiversiti Sarawak menyumbang secara bermakna kepada aspirasi bioekonomi Malaysia secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak pula berkata, penyelarasan sumber biodiversiti unik Sarawak dengan strategi bioekonomi nasional akan memperkukuh daya saing Malaysia dalam inovasi mampan.
“Kerjasama ini akan menarik lebih banyak pelaburan ke dalam industri bio bernilai tinggi, sekali gus membuka peluang kepada pemain industri, penyelidik, usahawan dan komuniti luar bandar,” katanya.
Sebagai cabang komersial kepada Sarawak Biodiversity Council (SBC), BVT bekerjasama rapat dengan Sarawak Biodiversity Centre dalam mengkomersialkan hasil penyelidikan biodiversiti tempatan kepada perusahaan bio berasaskan kelestarian.
Kerjasama strategik bersama Bioeconomy Corporation ini juga menyokong matlamat di bawah NBP 2.0 dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), bagi menjadikan Sarawak sebagai hab bioekonomi hijau utama di rantau ini. - DagangNews.com








