KUALA LUMPUR 23 Jun – Bedi Bhd bercadang mengambil alih dua syarikat pembangunan hartanah di Sabah daripada pihak berkaitan pada harga tunai keseluruhan RM38.82 juta bagi mengukuhkan kehadirannya di Malaysia Timur.
Syarikat itu memeterai perjanjian dengan Bedi Development Sdn. Bhd. (BDSB) untuk memperoleh Sejati Sentral (Sandakan) Sdn Bhd pada harga RM17.55 juta dan FYT Land (KK) Sdn Bhd pada harga RM21.27 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bedi berkata pengambilalihan itu membolehkannya memperoleh beberapa projek pembangunan yang sedang berjalan di lokasi strategik di Sabah.
Menurutnya, projek-projek berkenaan mempunyai baki nilai pembangunan kasar (GDV) belum dibil dan belum dijual berjumlah RM1.13 bilion dengan anggaran keuntungan pembangunan kasar sebanyak RM146.94 juta yang akan meningkatkan pendapatan kumpulan melalui bil progresif dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sejati Sentral (Sandakan) sedang membangunkan Sejati Sentral, sebuah projek komersial bersepadu di Sandakan dengan anggaran GDV sebanyak RM225.68 juta.
Sementara itu, FYT Land (KK) pula sedang membangunkan projek Bayu Damai Residences dan Luna Damai Residences di Kota Kinabalu yang mempunyai gabungan GDV kira-kira RM1 bilion.
Sehingga 3 Jun lalu, projek Sejati Sentral telah menjual 66 unit bagi dua fasa pertama, mewakili 70.97% daripada unit yang telah dilancarkan manakala Bayu Damai Residences mencatat jualan sebanyak 603 unit atau bersamaan 79.13% daripada jumlah keseluruhan unit.
Berdasarkan pengiraan pro forma, cadangan pengambilalihan itu dijangka meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) Bedi kepada 3.66 sen berbanding 2.83 sen bagi tempoh kewangan 15 bulan berakhir 31 Mac 2025.
Bagaimanapun, nisbah penggearan kumpulan dijangka meningkat kepada 1.36 kali daripada 0.78 kali susulan penyatuan pinjaman kedua-dua syarikat sasaran ke dalam kumpulan.
Bedi bercadang membiayai pengambilalihan itu menggunakan hasil pelupusan sebuah bangunan pasar raya besar dua tingkat di Sandakan yang dijangka menjana sehingga RM46.19 juta dan dijangka selesai menjelang Ogos ini.
Sementara menunggu urus niaga pelupusan itu dimuktamadkan, kumpulan berkenaan mungkin menggunakan dana yang dijana secara dalaman serta pinjaman bank sebagai pembiayaan sementara.
Cadangan itu juga merupakan transaksi pihak berkaitan memandangkan Pengarah Urusan Kumpulan dan pemegang saham utama Bedi, Kong Chung Vui mempunyai kepentingan dalam syarikat sasaran menerusi BDSB, manakala pemegang saham utama Lim Aik Hoe, Lim Aik Kiat dan Lim Aik Fu turut mempunyai kepentingan tidak langsung menerusi EXSIM Borneo Sdn. Bhd., yang menguasai 52.5% pegangan dalam Bedi. - DagangNews.com








