Anak syarikat GDB Holdings berdepan tindakan pengurusan kehakiman  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat GDB Holdings berdepan tindakan pengurusan kehakiman 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jun — GDB Holdings Berhad memaklumkan anak syarikatnya Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd., berdepan tindakan pengurusan kehakiman selepas seorang pemiutang menfailkan permohonan berkenaan terhadap syarikat usaha samanya, Dynamic Contractor Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GDB Holdings berkata Grand Dynamic Builders telah dimaklumkan oleh peguamcara syarikat pada 19 Jun 2026 bahawa seorang pemiutang Dynamic Contractor, Sharifuddin Abdul Wahab, telah memfailkan permohonan itu pada 16 Jun 2026 di bawah beberapa peruntukan Akta Syarikat 2016.

 

Menurut syarikat itu, pemiutang berkenaan memohon supaya Dynamic Contractor diletakkan di bawah pengurusan kehakiman bagi tempoh enam bulan.

 

Sekiranya permohonan tersebut diluluskan mahkamah, tiada resolusi atau perintah penggulungan boleh dibuat terhadap Dynamic Contractor sepanjang tempoh itu.

 

Selain itu, sebarang prosiding undang-undang, tindakan penguatkuasaan dan proses lain terhadap syarikat berkenaan akan digantung kecuali dengan persetujuan pengurus kehakiman dan kebenaran mahkamah.

 

Pengurusan kehakiman merupakan satu mekanisme pemulihan korporat yang diselia mahkamah bagi membantu syarikat yang berdepan masalah kewangan.

 

Ia bertujuan memulihkan operasi perniagaan, mengekalkan syarikat sebagai entiti yang terus beroperasi atau menyediakan pulangan yang lebih baik kepada pemiutang berbanding proses penggulungan.

 

GDB Holdings berkata pihaknya kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan berbincang dengan peguamcara mengenai tindakan selanjutnya berhubung perkara itu.

 

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material yang memerlukan pendedahan kepada pemegang saham,” katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, pada Mac lalu GDB Holdings memaklumkan bahawa pemaju projek mewah 8 Conlay, KSK Land, telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan syarikat itu membayar RM102.8 juta kepada Grand Dynamic Builders bagi kerja-kerja pembinaan yang belum dijelaskan.

 

Pertikaian berkenaan berpunca daripada kelewatan pembayaran di bawah kontrak pembinaan bernilai RM1.25 bilion yang membawa kepada penggantungan kerja, penamatan kontrak serta beberapa tindakan undang-undang antara kedua-dua pihak.

 

KSK Land yang kini berada dalam proses likuidasi turut dilaporkan memohon kebenaran mahkamah bagi melaksanakan pelan penstrukturan semula hutang serta mendapatkan moratorium sementara terhadap tindakan undang-undang tertentu. - DagangNews.com