KUALA LUMPUR 4 Sept – AmFIRST Real Estate Investment Trust mahu mendapatkan kelulusan pemegang unit bagi cadangan menjual Menara AmBank kepada AmBank (M) Bhd pada harga RM331 juta secara tunai.
AmREIT Managers Sdn Bhd selaku pengurus AmFIRST REIT telah mengeluarkan pekeliling kepada pemegang unit berhubung cadangan tersebut dan akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 21 September 2026 bagi mendapatkan kelulusan tersebut.
Cadangan penjualan itu merupakan sebahagian daripada strategi penyusunan semula portfolio dan kitar semula modal AmFIRST REIT bagi mengoptimumkan prestasi aset, meningkatkan fleksibiliti kewangan serta menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Menara AmBank merupakan sebuah bangunan pejabat setinggi 46 tingkat yang terletak di kawasan Segi Tiga Emas dan telah menjadi sebahagian daripada portfolio AmFIRST REIT sejak 2006.
Bagaimanapun, prestasi aset tersebut semakin kurang memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan kadar penghunian yang rendah dan kadar sewaan yang sederhana.
Strategi Menjual Aset Berpulangan Rendah
AmFIRST REIT berkata, hasil pendapatan hartanah bersih daripada Menara AmBank berada di bawah purata kos pinjaman amanah itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Keadaan tersebut berlaku dalam lambakan pasaran pejabat Kuala Lumpur yang terlalu banyak seterusnya memberi tekanan terhadap kadar penghunian dan harga sewaan.
Sehubungan itu, penjualan Menara AmBank dilihat sebagai langkah untuk membuka nilai daripada aset matang yang memberikan pulangan lebih rendah kepada AmFIRST REIT.
Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers, Chong Hong Chuon berkata urus niaga itu akan membolehkan amanah berkenaan memperkukuh kedudukan kewangannya selain meningkatkan keupayaan untuk meneroka peluang baharu.
Menurutnya, hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan bagi mengurangkan hutang dan membolehkan AmFIRST REIT menjimatkan kos pembiayaan dengan ketara.
Hasil Jualan Digunakan Kurangkan Hutang
Sebahagian besar daripada RM331 juta hasil penjualan itu akan digunakan untuk menyelesaikan pinjaman bercagar serta membuat pembayaran sebahagian daripada kemudahan pembiayaan tertunggak.
Selepas urus niaga itu selesai, nisbah penggearan AmFIRST REIT dijangka menurun kepada kira-kira 33.9% berbanding 46.6% ketika ini.
Pengurangan hutang tersebut akan memberikan kedudukan kewangan yang lebih kukuh kepada AmFIRST REIT serta meningkatkan fleksibilitinya untuk melaksanakan strategi penyusunan semula dan kepelbagaian portfolio.
AmFIRST REIT juga berhasrat memberi tumpuan kepada aset yang menawarkan pulangan lebih tinggi serta mempunyai aliran pendapatan yang lebih kukuh dan stabil bagi menyokong kemampanan pendapatan pada masa hadapan.
Lembaga pengarah AmFIRST REIT, tidak termasuk pengarah yang mempunyai kepentingan dalam urus niaga itu, telah mengesyorkan supaya pemegang unit menyokong cadangan penjualan tersebut.
Sekiranya mendapat kelulusan dan tiada sebarang keadaan tidak dijangka berlaku, urus niaga berkenaan dijangka diselesaikan pada suku keempat 2026. - DagangNews.com








