KUALA LUMPUR 20 Jun - Anak syarikat Advancecon Holdings Bhd, Advancecon Infra Sdn Bhd, menghantar notis adjudikasi kepada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC) bagi menuntut bayaran tertunggak sebanyak RM15.22 juta berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut Advancecon, tuntutan itu melibatkan bayaran bagi kerja-kerja tanah, saliran dan pembetung di dua bahagian projek ECRL yang dijalankan sejak 2020, termasuk faedah dan pampasan lain.
"Advancecon Infra sebelum ini telah menghantar tuntutan bayaran kepada CCC pada 12 Mac 2025 berjumlah RM10.17 juta dan RM5.05 juta, tetapi didakwa tidak menerima sebarang bayaran," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Oleh itu, syarikat tersebut mengeluarkan notis adjudikasi mengikut Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan secara rasmi.
Advancecon turut memaklumkan, selain daripada tuntutan dan kos adjudikasi, perkara itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada kewangan dan operasi syarikat buat masa ini. - DagangNews.com








