KUALA LUMPUR 23 Julai - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengarahkan tindakan segera diambil bagi menangani pelbagai isu perkhidmatan kritikal yang dihadapi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menegaskan isu kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, PPUM merupakan sebuah hospital pengajar dan skop perkhidmatannya perlu disesuaikan dengan kapasiti serta keupayaannya sebagai hospital pengajar.
"Saya telah mengarahkan agar tindakan segera diambil terhadap keputusan-keputusan yang dipersetujui dalam perbincangan ini," katanya.

Perbincangan itu melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Naib Canselor Universiti Malaya serta pasukan pentadbiran PPUM.
Shamsul Azri berkata, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada isu-isu dasar yang dibangkitkan menerusi aduan rakyat, khususnya berkaitan tempoh menunggu yang panjang, cabaran penyampaian perkhidmatan klinikal serta keperluan memperkukuh sumber tenaga mahir dan kepakaran.
Beliau berkata, langkah susulan akan dilaksanakan segera bagi memastikan keputusan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan perkhidmatan di PPUM.
Menurutnya, kerajaan komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam terus diperkasa demi memenuhi keperluan rakyat. - Bernama








