TA Securities positif terhadap langkah CapitaLand Malaysia Trust melupuskan menara pejabat 3 Damansara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities positif terhadap langkah CapitaLand Malaysia Trust melupuskan menara pejabat 3 Damansara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - TA Securities positif terhadap langkah CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) melupuskan menara pejabat 3 Damansara yang diduduki rendah di Petaling Jaya, Selangor.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata cadangan pelupusan bernilai RM52 juta itu mewakili premium 4% berbanding nilai pasaran hartanah berkenaan pada RM50 juta.

 

“Pelupusan itu akan menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM400,000. Disebabkan oleh kadar penghunian yang rendah iaitu 30% dan saiznya yang agak kecil, kami menjangkakan bahawa kesan ke atas pendapatan akan diabaikan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) dan saranan beli dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 65 sen sesaham, berdasarkan hasil sasaran 7.5% dalam unjuran dividen seunitnya sebanyak 4.9 sen seunit bagi tahun ini.

 

TA Securities berpendapat bahawa pendekatan proaktif CLMT untuk menilai nilai aset dan potensi hasil di bawah keadaan pasaran yang berbeza telah membuahkan hasil positif.

 

 

 

BACA JUGA: CapitaLand Malaysia Trust jual menara pejabat 3 Damansara berharga RM52 juta kepada Lagenda Properties

 

 

“Pada tahun lalu, CLMT telah mengembangkan portfolionya dengan memperoleh dua aset logistik dan satu aset runcit, secara kolektif bernilai RM1.1 bilion.

 

“Justeru, kami menganggap pelupusan ini sebagai langkah konstruktif yang diambil oleh CLMT untuk meningkatkan kualiti portfolionya dengan mengewangkan aset pejabat bukan teras dan berprestasi rendah ini,” katanya.

 

Dengan pasaran ruang pejabat di Lembah Klang berhadapan tekanan akibat lebihan bekalan, firma itu berkat pelupusan tersebut datang pada masa yang sesuai, terutamanya disebabkan harga jualan melebihi penilaian hartanah.

 

“Hasil daripada pelupusan ini juga akan menyediakan CLMT dengan fleksibiliti kewangan untuk meningkatkan usaha mempelbagaikan portfolionya dan mengejar peluang dengan penghasilan lebih tinggi dalam sektor baharu muncul seperti sektor logistik,” tambahnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, CLMT mengumumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian jual beli bagi penjualan menara pejabat 3 Damansara kepada Lagenda Harta Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Lagenda Properties Berhad.  - DagangNews.com