SSF Home sasar kumpul RM50 juta daripada IPO Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SSF Home sasar kumpul RM50 juta daripada IPO Pasaran ACE

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif Dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSF Home, Lok Kok Khong; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SSF Home, Wong Choong Loong; dan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif SSF Home, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, bersama Pengarah Urusan M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan dan Ketua Kewangan Korporat, Gary Ting, pada pelancaran prospektus syarikat hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - SSF Home Group Bhd menyasarkan untuk kumpul sebanyak RM50 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Oktober.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat itu berkata sebahagian besar daripada hasil itu akan digunakan untuk pengembangan kerana ia menyasarkan untuk membuka 18 kedai runcit baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Berdasarkan harga IPO pada 25 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 800 juta, peruncit perabot, hiasan rumah dan produk kediaman rumah itu akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM200 juta.

 

IPO kumpulan itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 200 juta saham baharu atau 25% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, dan tawaran untuk penjualan 24 juta saham sedia ada atau 3% daripada saham yang diperbesarkan secara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 200 juta saham baharu, 40 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, diikuti oleh 40 juta saham untuk pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

20 juta saham lagi diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala baki 100 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera seperti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wong Choong Loong berkata RM50 juta yang diperoleh daripada IPO ini akan membolehkan syarikat terbabit mengukuhkan lagi kedudukan pasaran dalam industri peruncitan kelengkapan rumah dan memanfaatkan pertumbuhan industri masa depan.

 

“Rancangan kami untuk membuka 18 kedai runcit baharu dalam tempoh tiga tahun berikutnya akan membolehkan kami membina kesedaran dan meningkatkan keterlihatan dan kehadiran jenama kami.

 

“Selain itu, kami juga akan mempertingkatkan infrastruktur teknologi maklumat (IT) kami yang termasuk pemindahan ke sistem perancangan sumber seluruh perusahaan baharu, peningkatan laman web e-dagang dan menaik taraf aplikasi mudah alih SSFHOME,” ujar beliau.  - DagangNews.com