Sin-Kung Logistics meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sin-Kung Logistics meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Sin-Kung Logistics Bhd memeterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, perjanjian itu menandakan perkembangan IPO kumpulan itu sejak memfailkan draf prospektus pada Julai 2023.

 

“IPO adalah tepat pada masanya, kerana ia akan membolehkan syarikat mendapat akses kepada pasaran modal Malaysia untuk mengumpul dana bagi memudahkan pertumbuhan dan pembangunan berterusan kami terutama dalam pengangkutan kontena, serta perkhidmatan pergudangan dan pengedaran,” katanya.

 

Kumpulan itu kini memiliki kira-kira 460 kenderaan komersial untuk pengangkutan kontena, pergudangan dan pengedaran, serta perniagaan berkaitan logistik yang lain. 

 

Syarikat itu juga mengendalikan lima gudang di wilayah tengah dan utara Semenanjung Malaysia.

 

Syarikat itu akan memperuntukkan hasil daripada IPO untuk pengembangan perkhidmatan pergudangan dan pengedaran, pembayaran balik pinjaman bank, pembelian kenderaan komersial, modal kerja, dan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 200 juta saham baharu dan tawaran penjualan 103.5 juta saham sedia ada. Secara keseluruhannya, IPO itu menawarkan sehingga 25.3% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Terbitan awam memperuntukkan 60 juta saham kepada orang ramai, dan 45 juta saham kepada orang yang layak, dengan baki 95 juta saham dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera.

 

Menerusi perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 105 juta saham baharu yang disediakan kepada orang awam Malaysia dan orang yang layak menerusi peruntukan borang merah jambu.

 

Tranche tawaran untuk jualan pula memperuntukkan 55 juta saham untuk pelabur Bumiputera, dan 48.5 juta saham lagi untuk pelabur terpilih, kedua-duanya dilakukan melalui penempatan persendirian.

 

M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com