Setel dilantik sebagai penyedia e-dompet program eBeliaRahmah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setel dilantik sebagai penyedia e-dompet program eBeliaRahmah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Setel mengumumkan pelantikan sebagai salah satu penyedia perkhidmatan e-dompet oleh Kementerian Kewangan untuk program eBeliaRahmah bagi menyokong usaha kerajaan meringankan beban kewangan serta menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

 

Mulai 26 Jun hingga 31 Ogos 2023, belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar Malaysia sepenuh masa yang berdaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) layak menuntut kredit eBeliaRahmah RM200 secara ‘one-off’ melalui aplikasi Setel.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong program eBeliaRahmah, selari dengan tujuan untuk memupuk budaya masyarakat tanpa tunai dan mempromosikan transaksi kewangan lebih selamat dan efisien. 

 

Katanya, belia yang layak memohon eBeliaRahmah melalui aplikasi Setel boleh membeli-belah di kedai runcit yang memaparkan kod QR Setel, DuitNow, dan di mana-mana stesen Petronas seluruh negara. 

 

"Setel berharap dapat membantu meringankan beban kewangan belia melalui insentif tambahan kami dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi bagi perniagaan tempatan dan menyokong peralihan mereka ke arah pembayaran tanpa tunai dengan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Untuk memohon RM200 kredit e-tunai mulai 26 Jun 2023, belia yang layak perlu memuat turun atau mengemas kini kepada versi terkini aplikasi Setel dan melengkapkan pengesahan akaun melalui e-KYC. 

 

Insentif ini akan dikreditkan ke Dompet eBeliaRahmah pengguna dalam aplikasi selepas permohonan berjaya, dan akan dimaklumkan melalui notifikasi dan mesej peti masuk aplikasi. 

 

 

setel

 

 

setel

 

 

Insentif eBeliaRahmah perlu digunakan sebelum 31 Ogos 2023 dan tidak boleh dipindahkan ke akaun e-dompet lain.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/etunai-rahmah.html. - DagangNews.com