KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) mencatatkan pendapatan bersih RM20.53 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM37.91 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Sentrail REIT berkata, pendapatan bersih yang dicatatkan pada 2QFY24 itu merupakan peningkatan sebanyak 16.4% berbanding 2QFY23.
"Pendapatan pula sebanyak RM49.03 juta, meningkat daripada RM38.19 juta setahun sebelumnya manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 1.72 sen daripada 1.65 sen sebelumnya," katanya hari ini.
Sepanjang tempoh enam bulan terkumpul hingga 30 Jun, 2024, pendapatan bersih REIT ialah RM40.42 juta dengan pendapatan RM98.72 juta.
Pada 1HFY23, pendapatan bersih Sentral REIT berjumlah RM35.3 juta manakala pendapatan RM75.67 juta.
"Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh hasil lebih tinggi yang dijana daripada Menara CelcomDigi (yang dimasukkan ke dalam portfolio sejak 11 Disember 2023), Bangunan Sentral 4 dan Platinum Sentral, dan kesan garis lurus hasil sepanjang tempoh pajakan menurut keperluan Pajakan MFRS 16," katanya.
Sentral REIT mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM38.4 juta, dan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 3.21 sen untuk 1HFY24, dibayar pada 18 September 2024.
ARTIKEL BERKAITAN: Prospek REIT dijangka stabil 2025, pilihan selamat bagi pelaburan - RHB Investment
DPU tahunan diterjemahkan kepada hasil sebanyak 8.02%, berdasarkan harga penutup Sentral sebanyak 80 sen sesaham pada 28 Jun 2024.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan, Pengerusi Sentral REIT, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, peningkatan dalam hasil kasar, NPI, EPU yang direalisasikan dan DPU untuk 1H 2024 menunjukkan daya tahan dan kecekapan operasi Sentral.
"Kami gembira kerana penambahan Menara CelcomDigi ke dalam portfolio Sentral sejak Disember 2023 terbukti memberikan keuntungan. Operasi Sentral terus disokong oleh sumbangan sihat daripada hartanah sedia ada di KL Sentral,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sentral REIT, Derek Teh Wan Wei berkata, kadar pengekalan penyewa untuk 1H 2024 menurun kepada 39.4% disebabkan peralihan penyewa di hartanah KL Sentral.
"Berikutan itu, Sentral mencatatkan kadar penghunian purata lebih rendah iaitu 84% pada 30 Jun 2024.
"Aktiviti penyewaan kami kekal kukuh dengan inisiatif pemasaran yang disasarkan dilaksanakan untuk mengenal pasti penyewa baru bagi ruang yang ditinggalkan, manakala rundingan untuk penyewaan yang akan tamat pada suku terakhir dan pada tahun 2025 telah dimulakan lebih awal,” ujarnya. - DagangNews.com








