Sentral REIT catat pendapatan bersih RM18.2 juta pada 3FY23, kadar penghunian meningkat kepada 86% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentral REIT catat pendapatan bersih RM18.2 juta pada 3FY23, kadar penghunian meningkat kepada 86%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) telah mencatat pendapatan bersih RM18.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM30 juta.

 

REIT yang terlibat dalam pasaran pejabat dan runcit di Lembah Klang itu menyaksikan peningkatan kadar penghunian kepada 86% pada 3QFY23 daripada 77% suku sebelumnya.

 

Sentral REIT juga mencapai pendapatan setiap unit (EPU) direalisasi sebanyak 1.70 sen pada suku dalam tinjauan.

 

Sementara itu, bagi tempoh sembilan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), Sentral REIT mencatatkan pendapatan bersih dan EPU direalisasi masing-masing sebanyak RM53.5 juta dan 4.99 sen, penurunan sebanyak 6.2% daripada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Dalam kenyataan media hari ini, syarikat pengurusan Sentral REIT,  Sentral REIT Management Sdn Bhd (SRM) berkata pendapatan rendah dicatatkan dalam 9MFY23 terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan utiliti dan kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Pengerusi SRM, Tan Sri Saw Choo Boon berkata prestasi portfolio Sentral REIT yang berdaya tahan sepanjang tahun mencerminkan kekuatan operasi dan kualiti asetnya walaupun tekanan bekalan berterusan yang dihadapi dalam pasaran pejabat Lembah Klang.

 

 

 Tan Sri Saw Choo Boon
Tan Sri Saw Choo Boon

 

 

“Prestasi kewangan Sentral REIT mungkin terus terjejas oleh ketidaktentuan pasaran yang lebih luas, termasuk peningkatan cukai jualan dan perkhidmatan, kos utiliti dan kadar faedah yang lebih tinggi tetapi ia kekal komited untuk memacu pendapatan mampan dan pertumbuhan jangka panjang.

 

“Kami akan mengekalkan tumpuan kami untuk mengembangkan dan meletakkan semula portfolio hartanah SENTRAL untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran,” katanya dalam kenyataan yang sama.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SRM, Derek Teh Wan Wei menambah bahawa pendekatan pengurusan modal Sentral REIT terus berhemat dan berdisiplin dengan kos purata wajaran hutang sebanyak 4.4% setahun setakat 30 September 2023.

 

“Risiko turun naik kadar faedah dikurangkan dengan jangkaan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) kekal stabil pada 3% sepanjang tahun ini. Bagaimanapun, semakan semula masih dilakukan untuk mengimbangi semula komposisi pinjaman kadar tetap dan terapung Sentral REIT,” katanya.

 

Setakat pukul 3:26 petang ini, saham Sentral REIT telah menokok 0.5 sen atau 0.6% kepada 83 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM889.6 juta.  - DagangNews.com