KUALA LUMPUR 30 Julai - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan sentimen pengguna semakin bertambah baik berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di sebalik tekanan berterusan terhadap perbelanjaan akibat penyasaran subsidi diesel dan petrol yang akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, manfaat ini akan lebih dirasai oleh pengeluar barangan keperluan seperti makanan berbanding barangan pilihan yang masih mempunyai ruang budi bicara.
"Kami menjangkakan margin keuntungan yang lebih baik (kepada pengeluar produk makanan) berikutan penurunan harga komoditi utama, kecuali koko dan biji kopi.
"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor pengguna kerana kami menjangkakan permintaan domestik akan didorong oleh perbelanjaan swasta memandangkan pasaran kerja yang stabil, pemulihan dalam industri pelancongan serta pendapatan boleh guna pengguna lebih baik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
PublicInvest juga percaya bahawa ini akan menguntungkan sektor barangan pengguna asas dengan prospek pendapatan yang lebih baik kerana perbelanjaan terhadap barangan asas akan lebih diutamakan.
"Pilihan utama kami adalah Able Global, kerana kami menjangkakan sumbangan yang lebih kukuh daripada operasi mereka di Mexico yang disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk tenusu.
"Kedua, adalah Magni-tech Indusrties Berhad (Magni) berikutan peningkatan jualan athleisure yang dipacu oleh fokus pengguna terhadap sukan dan kesejahteraan serta penilaian menariknya, yang diniagakan pada purata PER hadapan 8x, mewakili diskaun sebanyak 40% berbanding purata sektor kami sebanyak 14x," jelasnya.
Menurut PublicInvest, permintaan untuk produk pilihan (bukan makanan) dijangka kekal lemah disebabkan oleh cabaran makroekonomi, kos sara hidup yang tinggi serta kebimbangan mengenai penyelarasan subsidi bahan api petrol RON95.
"Ini boleh membawa kepada aktiviti penurunan dagangan dalam kalangan pengguna sensitif harga, yang berpotensi memberi manfaat kepada DKSH, memandangkan pelbagai jenis barangan pengguna dalam portfolio produknya," jelasnya.
Sementara itu, PublicInvest berkata, kesan pelarasan subsidi petrol RON95 terhadap inflasi akan menjadi lebih ketara berikutan asas penggunanya yang lebih besar, merangkumi sekumpulan besar pengguna.
"Petrol memegang wajaran 5.5% dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding diesel, 0.2%. Ini memerlukan pendekatan yang beransur-ansur untuk mengelakkan lonjakan inflasi yang mendadak.
"Implikasi yang lebih luas daripada pemotongan subsidi RON95 terhadap kuasa beli isi rumah adalah besar berbanding diesel, memerlukan pengurusan yang teliti untuk mengekalkan kestabilan ekonomi," ujarnya.- DagangNews.com








