Selain Hanifah, saham Datasonic Group turut dimiliki Kerajaan Malaysia menerusi Urusharta Jamaah | DagangNews Skip to main content

Selain Hanifah, saham Datasonic Group turut dimiliki Kerajaan Malaysia menerusi Urusharta Jamaah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - Laporan Tahunan Datasonic Group Berhad yang diterbitkan hari ini menunjukkan bahawa selain Datuk Hanifah Noordin sebagai pemegang saham utamanya, ekuiti kumpulan itu turut dimiliki oleh kerajaan Malaysia menerusi Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

 

Urusharta Jamaah merupakan syarikat pemilikan pelaburan dan pengurusan aset yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada 2018 dan mereka memiliki pegangan sebanyak 8.77% atau 248 juta saham di dalam Datasonic.


 

Urusharta Jamaah Sdn Bhd


Laporan tahunan yang dikeluarkan di Bursa Malaysia itu menyatakan Hanifah yang juga pemilik dan pengasas kumpulan itu memiliki pegangan terbesar sebagai individu dengan 7.95% atau 225 juta pegangan saham.

 

Dua lagi entiti syarikat iaitu Demi Mekar Sdn. Bhd. merupakan antara pemegang saham terbesar dengan 6.07% pegangan (171 juta saham) selain Kuantum Juang Sdn. Bhd menerusi 6% pegangan atau 170 juta saham.

 

Pada masa sama, Chew Ben Ben memiliki pegangan 5.38% terhadap kumpulan itu atau 152 juta saham manakala pengarah eksekutif kumpulan itu, Chew Chi Hong memiliki 118 juta atau 4.18% pegangan.

 

Datasonic juga dibarisi beberapa tokoh terkemuka dalam sektor keselamatan dan kerajaan bagi memastikan kerajaan hari ini yakin dengan keupayaannya untuk menghasilkan dokumen keselamatan dan identiti.

 

TERBAHARU: Tengku Dato Indera Abu Bakar Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Datasonic

 

2 Ogos 2023: Datasonic isytihar dividen 2 sen bagi FY2023 berjumlah RM56.7 juta kepada pemegang saham

 

Pada 14 September 2022, bekas Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif. 

 

Pada 29 September 2022, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.

 

Sebagai pengeluar dokumen keselamatan dan pengenalan diri seperti MyKad dan pasport, Datasonic boleh memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Khalil dan Khalid.

 

Pemahaman mereka tentang keperluan dan cabaran untuk menghasilkan dokumen keselamatan dan identiti akan memberikan Datasonic kelebihan apabila tiba masanya untuk mendapatkan kontrak baharu daripada Kementerian Dalam Negeri dan jabatan serta kementerian lain.


 

datasonic

 


Datasonic adalah satu-satunya syarikat di Malaysia yang boleh menyediakan penyelesaian hujung ke hujung untuk dokumen keselamatan dan kad pengenalan.

 

Pasport Malaysia yang dihasilkan Datasonic menjadi semakin canggih, dengan ciri keselamatan yang canggih.- DagangNews.com