Sektor pembinaan kembali suram susulan langkah penjimatan kerajaan, hanya MRT3 mungkin 'selamat' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan kembali suram susulan langkah penjimatan kerajaan, hanya MRT3 mungkin 'selamat'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Julai - Sektor pembinaan dilihat berdepan ketidaktentuan pada separuh kedua ini berikutan langkah kerajaan untuk menangguhkan projek mega baharu dalam usaha menjimatkan perbelanjaan ekoran jumlah subsidi yang ditanggung kini mencecah RM77 bilion. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely berkata, jika keputusan itu diteruskan dengan jangkaan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) pada suku keempat 2022 atau suku pertama 2023, terdapat kemungkinan pelancaran kontrak tidak menjadi kenyataan menjelang pengundian.

 

Setakat ini, katanya, tiada projek mega baharu yang dibiayai kerajaan telah diluluskan atau diumumkan sejak projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dihidupkan semula pada suku kedua 2022.

 

"Mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR), selain ia masih menjalani kajian kebolehlaksanaan, masih tidak diketahui statusnya hingga kini dan boleh terjejas jika kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan projek mega baharu.

 

"Namun, kami menjangkakan tender bagi projek MRT3 tidak terjejas meskipun pembiayaan kerajaan yang terhad dan risiko kelewatan projek mega boleh memberi kesan kepada garis masa tender peringkat-1 MRT3 yang sedang berjalan. 

 

"Ini memandangkan model pembiayaan hibridnya akan menjadi faktor utama mengurangkan potensi risiko kelewatan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

mrt3

 

 

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua projek pembangunan yang belum dimulakan, akan ditangguh atau dibatalkan terus bagi menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam'.

 

Malah, beliau menyifatkan langkah penjimatan sedemikian wajar diambil bagi menampung kenaikan subsidi yang kini mencecah RM77 bilion serta membantu rakyat secara berterusan terutama mereka yang dalam kategori B40.

 

Media sebelum ini melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun Persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

 

Menurut Sharizan, dalam tempoh 6 bulan pada separuh kedua ini, kerajaan dijangka tidak mengeluarkan sebarang kontrak berskala besar. 

 

"Berdasarkan data aliran kontrak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), nilai kontrak setakat Mei 2022 mencecah RM114 bilion bagi 2022, mencerminkan penurunan sebanyak 12% tahun ke tahun dalam nilai projek yang dianugerahkan," katanya.

 
Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan kini ialah impak negatif daripada kenaikan harga mentah walaupun menjangkakan risiko pemampatan margin adalah khusus syarikat dan lebih tinggi untuk kontraktor/pemaju hartanah kecil hingga sederhana (dengan harga pelbagai (VOP) yang terhad berbanding pelanggan).

 

Namun, katanya, kontraktor yang lebih besar yang mempunyai bahagian nilai kontrak lebih besar dengan klausa peningkatan adalah lebih terlindung.

 

"Masalah kekurangan buruh, kos buruh yang lebih tinggi dan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan tidak dilihat sebagai risiko material oleh kontraktor di bawah liputan kami dan kekal terurus," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' memandangkan sektor pembinaan masih lagi berdepan ketidaktentuan pada separuh kedua ini. 

 

"Ketidaktentuan politik, kenaikan harga bahan mentah dan pendirian kerajaan kembali kepada pendirian berhati-hati mengenai pelancaran projek mega adalah risiko kepada 'overhang'.

 

"Di bawah senario tempoh aliran baharu kontrak yang lemah ini, mungkin terdapat peluang dagangan yang terhad kepada beberapa saham pembinaan kerana sentimen dan jangkaan pelabur mungkin lemah," katanya. - DagangNews.com