Saham UMW dikeluar daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada 19 Februari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham UMW dikeluar daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada 19 Februari

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Feb - Keseluruhan modal saham terbitan UMW Holdings Bhd akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd pada Isnin, 19 Februari ini.

 

Langkah penyahsenaraian itu yang menandakan selesainya penswastaan oleh Sime Darby Bhd dibuat mengikut perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, menurut UMW Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Saham UMW Holdings, yang pertama kali disenaraikan di bursa saham tempatan pada 1970 telah pun digantung daripada dagangan pada 9 Februari lalu.

 

Tarikh 9 Februari 2024 menandakan lima hari pasaran selepas tarikh tutup lanjutan tawaran pengambilalihan oleh Sime Darby, yang ditutup pada 31 Januari 2024.

 

Sewaktu tarikh tutupnya, Sime Darby memegang 98.86% saham UMW Holdings dan UMW pada tarikh yang sama memohon kepada Bursa Securities untuk menarik balik status penyenaraiannya.

 

umw
Diasaskan pada 1917 oleh Chia Yee Soh, UMW bermula sebagai sebuah bengkel baik pulih automotif di Orchard Road, Singapura, dikenali sebagai United Motor Works

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham UMW Holdings tiada lagi mulai 9 Feb 2024, menganggotai konglomerat Sime Darby

 

Pada Disember 2023, Sime Darby melancarkan tawaran am mandatori (MGO) untuk saham yang tidak dimilikinya dalam UMW Holdings. 

 

Ini berikutan pembelian 61.18% pegangan ekuiti dalam UMW Holdings daripada syarikat induknya Permodalan Nasional Bhd pada harga RM3.57 bilion, bersamaan RM5 sesaham. 

 

Setelah selesai perjanjian itu, Sime Darby melancarkan MGO untuk baki 38.82% kepentingan untuk sekitar RM2.27 bilion, dengan tujuan menswastakan UMW.
 


Sehingga 30 September 2023, UMW Holdings mencatat keuntungan bersih sebanyak RM611.1 juta berbanding pendapatan RM13.7 bilion.

 

Perniagaannya termasuk automotif, perindustrian, peralatan berat, marin & kuasa, pembuatan dan kejuruteraan dan pengeluar komponen untuk industri aerangkasa.

 

Ia pertama kali disenaraikan di bursa saham, kemudian dipanggil Bursa Saham Kuala Lumpur, sebagai United Motor Works (Malaysia) Holdings Bhd.

 

Diasaskan pada 1917 oleh Chia Yee Soh, ia bermula sebagai sebuah bengkel baik pulih automotif di Orchard Road, Singapura, dikenali sebagai United Motor Works.- DagangNews.com