Saham Heitech Padu terus naik, cerminkan sentimen `okay’ pelabur terhadap Farhash Wafa | DagangNews Skip to main content

Saham Heitech Padu terus naik, cerminkan sentimen `okay’ pelabur terhadap Farhash Wafa

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

ASALNYA dulu memiliki satu saham, membolehkan saya masuk ke dalam mesyuarat agung tahunan untuk mengetahui sesi soal jawab pemegang saham dengan pengurusan syarikat.

 

Ini adalah kaedah untuk mendapatkan gambaran lebih jelas sesuatu keputusan atau kedudukan kewangan syarikat, yang lazimnya tidak diceritakan secara terperinci di dalam kenyataan media atau sidang media.

 

Secara umumnya, jual beli saham ketika itu lebih kepada memperoleh maklumat. Bukan ada dana pun sebab syarikat akhbar ketika itu tidak ada polisi membayar balik pembelian saham atas tujuan sedemikian. Rugi tanggung sendiri. Kalau ada untung RM15 (sebab beli 1 lot sahaja), sengih sendirian juga.

 

 

merrepak

 

 

Sekarang lain sikit, keputusan membeli saham dibuat atas dasar universal – potensi untung berdasarkan rekod dan prestasi semasa serta diyakini untung.

 

Atas polisi ini jugalah kenapa kemunculan Datuk Wira Farhash Wafa Salvador di dalam dunia korporat sebagai pemegang saham besar, menarik minat besar komuniti pelabur di Bursa Malaysia. Termasuk saya.

 

Berikut 12 faktor menarik minat pelabur saham:

  1. Farhash Wafa dilihat sebagai individu yang memiliki kaitan rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun beliau menjelaskan sudah tidak lagi aktif di dalam politik.


     farhash wafa

     
  2. Ini serupa dengan kemunculan Kerabat Diraja yang satu demi satu diumumkan sebagai pemegang saham utama pelbagai syarikat tersenarai. Mereka dilihat sebagai `pasti untung mari!’.
     
  3. Pasaran saham sentiasa mencari-cari petunjuk untuk merangsang minat pelabur, tatkala angka-angka perdagangan negara pada 2023 tidak memberangsangkan dan 2024 pun sederhana akibat pengenalan pelbagai cukai serta rasionalisasi bahan api tidak lama lagi.


     merrepak

     
  4. Maka, satu kaedah mudah ialah mengenal pasti individu atau entiti pemegang saham sesebuah syarikat tersenarai. Dan rekod setahun lalu pun memadai untuk mengesahkan bila ada individu istimewa muncul sebagai pemegang saham utama, syarikat itu memperoleh kontrak-kontrak besar yang pastinya menjamin dividen kepada pemegang saham, sekali gus mendorong lebih ramai hendak memiliki saham syarikat.
     
  5. Definisi `individu istimewa’ di mata pelabur ialah orang yang memang dikenali sebagai taikun dan memiliki track record; Kerabat Diraja terdiri daripada Sultan, adik-beradik Sultan, anak Sultan, sepupu dan menantu, dan `person deemed to be linked to a specific politician, in particular the ruling party’.
     
  6. Definisi ini saya belajar sejak 20 tahun lalu semasa zaman BN memerintah, bahawa mereka ini memiliki `magnet kayangan’. Cubaan beberapa individu berstatus selebriti belum berjaya sepenuhnya memulangkan hasil (perolehan kontrak juta-juta), sekaligus gagal meyakinkan pelabur sedia ada dan bakal pelabur.
     
  7. Disebabkan tergolong di dalam kategori `person deemed to be linked...”,
    Farhash Wafa terpaksa bertungkus-lumus membuat penjelasan status dirinya yang tidak lagi aktif berpolitik atau memegang apa-apa jawatan di dalam kerajaan. Ketahuilah, di mata pelabur di Bursa Saham, semua itu tidak relevan. Yang penting Farhash Wafa boleh bawa nilai tambah kepada saham syarikat.



     




     
  8. Oleh kerana persepsi itu juga, Farhash Wafa pantas mendapat `serangan’ daripada musuh politiknya. Bekas ketua penerangan Umno, Isham Jalil membuat laporan polis dan menggesa SPRM menyiasat asal-usul duit Farshah Wafa.
     
  9. Ekoran itu, Farhash Wafa telah mengeluarkan surat saman terhadap Isham menuntut RM10 juta. Terlalu cepat Farhash bertindak balas. Patut tenang-tenang dulu.
     
  10.  Dan paling terbaharu, Datuk Seri Anwar sendiri minta kementerian kewangan yang juga beliau sendiri adalah menterinya, untuk `menyemak’ pemilikan saham Farhash.
     
  11. Ketika bursa ditutup Jumaat lalu, saham Heitech Padu terus naik 7 sen atau 3.70% pada RM1.96, memberi modal pasaran syarikat bernilai RM198.4 juta. Ringkasnya, sentimen pelabur masih positif!
     
  12. Persoalan mengenai dari mana asal-usul duit Farhash memperoleh dana besar, itu akan tiba masanya sendiri nanti untuk beliau diberi hak bersuara. Sementara itu, jika saham Heitech Padu terus menerus meroket, para pelabur sudah melihat `anak bulan’ lebih awal di bulan Ramadan ini.

 

 

merrepak

 

 

Merrepak hari ini lebih berupa analisis, bukan mahu mempengaruhi, mendorong atau mencadangkan kepada mana-mana pelabur.

 

Sebarang untung rugi daripada transaksi pembelian saham tertentu adalah bukan tanggungjawab penulis. - DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 31 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Hold The Line oleh TOTO berulang-ulang kali.