RHB Investment unjur prospek sektor automotif lemah pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment unjur prospek sektor automotif lemah pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - RHB Investment mengunjurkan prospek yang lemah bagi sektor automotif pada 2024 disebabkan kekurangan pemangkin bagi mengekalkan momentum jualan selepas dua tahun mencatatkan rekod jualan yang tinggi.

 

Katanya, walaupun tahun ini sektor itu menunjukkan jualan yang kukuh tetapi pesanan tertunggak daripada jenama utama seperti Toyota dan Perodua mula mencatatkan penurunan.

 

Pesanan tertunggak Perodua pada Februari, Mei dan Ogos berjumlah 220,000 unit, 190,000 unit, dan 155,000 unit, manakala Toyota pada 50,000 unit, 52,000 unit dan 40,000 unit.

 

“Penyusutan pesanan tertunggak itu menyokong jangkaan kami bahawa jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada 2024 mungkin lemah terutama selepas mencatatkan jualan yang kukuh selama dua tahun berturut-turut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050, mereka percaya tumpuan bagi sektor itu akan tertumpu kepada mendorong penggunaan EV di Malaysia.

 

Katanya, ia mungkin termasuk insentif untuk memasang infrastruktur pengecasan EV, insentif EV pemasangan tempatan, pembaharuan cukai jalan EV, serta subsidi dan bantuan kewangan untuk membeli EV.

 

RHB Investment melihat beberapa faktor yang menarik untuk jualan kereta 2024 melanggar paras tertinggi yang lain.

 

“Unjuran TIV kami sebanyak 725,000 bagi 2023 membayangkan purata TIV tahunan empat tahun (2020 hingga 2023) sebanyak 621,000 unit, yang sebahagian besarnya sejajar dengan purata pra-pandemi 10 tahun sebanyak 618,000 unit.

 

"Ini menunjukkan bahawa pembelian kenderaan dalam dua tahun ini kebanyakannya adalah model berharga rendah seperti Perodua Myvi dan Axia, dan Proton Saga.

 

"Walaupun kenderaan berharga rendah mungkin terus memacu TIV akibat persekitaran kadar faedah yang tinggi, kami menjangkakan TIV turun ke tahap yang lebih normal pada 2024  dalam julat antara 600,000 hingga 650,000 unit," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor itu. - DagangNews.com