KUALA LUMPUR 12 Jun - Shin Yang Group Bhd memfailkan saman terhadap sebuah syarikat penyedia perkhidmatan marin bagi menuntut pembayaran tertunggak berjumlah RM2.96 juta yang didakwa berkaitan sewaan kapal serta kos lain yang masih belum dijelaskan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tindakan undang-undang berkenaan telah difailkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Shin Yang Shipping Sdn Bhd terhadap Petroschiff Marine Logistics Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi pada 21 Mei 2026.
Menurutnya, tuntutan tersebut melibatkan bayaran sewaan kapal yang belum dijelaskan, cukai perkhidmatan tertunggak dan kos pembaikan yang timbul daripada pengaturan sewaan membabitkan enam set kapal tunda dan tongkang antara kedua-dua pihak.
Shin Yang berkata, jumlah tuntutan RM2.96 juta itu merangkumi caj sewaan tertunggak bagi beberapa kapal untuk tempoh antara Mei 2025 hingga Mac 2026.
Selain itu, tuntutan tersebut turut melibatkan kos pembaikan yang didakwa perlu ditanggung oleh pihak defendan berdasarkan terma dan syarat perjanjian sewaan yang dipersetujui sebelum ini.
Katanya, prosiding undang-undang itu diambil bagi mendapatkan semula jumlah yang didakwa terhutang susulan kegagalan defendan menjelaskan bayaran berkaitan dalam tempoh ditetapkan.
Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan tindakan mahkamah berkenaan tidak dijangka memberi kesan buruk yang material terhadap kedudukan kewangan atau operasi perniagaannya.
Shin Yang, yang sebelum ini dikenali sebagai Shin Yang Shipping Corporation Bhd, terlibat terutamanya dalam perniagaan perkapalan bagi pengangkutan kargo pukal dan kontena.
Kumpulan itu juga memiliki limbungan kapal yang menjalankan aktiviti pembinaan, pembaikan dan fabrikasi kapal. - DagangNews.com








