KUALA LUMPUR 12 Jun - Ketika sebahagian pelabur memilih berlindung dalam saham perbankan dan utiliti susulan ketidaktentuan pasaran global, TA Research terus melihat peluang pulangan lebih tinggi dalam segmen saham bermodal kecil (small cap).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan beli ke atas lima saham pilihannya iaitu Exsim Hospitality Bhd, CBH Engineering Holding Bhd, Southern Score Builders Bhd, PGF Capital Bhd dan SkyWorld Development Bhd bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26).
Menurut TA Research, walaupun sentimen pasaran masih dipengaruhi konflik geopolitik, risiko inflasi dan perubahan dasar perdagangan global, prospek pertumbuhan keuntungan bagi kelima-lima syarikat tersebut kekal kukuh.
“Kami kekal bersedia mengharungi ketidaktentuan pasaran sambil terus mencari peluang pertumbuhan pada 2H26,” katanya dalam satu laporan tematik.
Saham Small Cap Masih Mampu Mengatasi Pasaran
TA Research berkata saham bermodal kecil berdepan tempoh yang mencabar sepanjang separuh pertama tahun ini apabila pelabur beralih kepada saham berkapitalisasi besar, khususnya dalam sektor perbankan dan utiliti.
Kebimbangan terhadap konflik di Timur Tengah serta kenaikan harga minyak turut menjejaskan selera risiko pelabur.
Indeks FBM Small Cap (FBMSC) jatuh ketara pada Mac sebelum kembali pulih pada April selepas gencatan senjata sementara antara Amerika Syarikat dan Iran.
Namun begitu, lima saham pilihan TA Research berjaya mencatat purata pulangan 11.6% setakat tahun ini, mengatasi prestasi FBM KLCI dan FBMSC.
Exsim Hospitality dan CBH Engineering Catat Prestasi Cemerlang
Exsim Hospitality muncul sebagai saham paling menyerlah dalam senarai tersebut apabila mencatat kenaikan harga saham sebanyak 63%, diikuti CBH Engineering yang meningkat 43%.
Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan keuntungan yang kukuh dalam kalangan syarikat terpilih sepanjang musim laporan kewangan terkini.
Exsim Hospitality merekodkan peningkatan keuntungan sebanyak 130.9% berbanding tempoh sama tahun lalu hasil prestasi operasi yang lebih mantap serta sumbangan lebih tinggi daripada segmen hospitaliti dan kerja kemasan dalaman.
CBH Engineering pula mencatat lonjakan keuntungan sebanyak 214.8% apabila pelaksanaan projek berjalan lebih pantas daripada jangkaan.
Southern Score Builders turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan teras meningkat 99.4%, didorong aktiviti pembinaan projek perumahan dan kerja mekanikal serta elektrikal berkaitan pusat data.
PGF Capital pula kembali mencatat keuntungan selepas menikmati peningkatan permintaan terhadap produk penebat kaca bulu (glass wool insulation) di Australia di samping penambahbaikan kecekapan operasi.
SkyWorld Dijangka Bangkit Semula
SkyWorld merupakan satu-satunya syarikat dalam senarai tersebut yang mencatatkan kemerosotan keuntungan apabila pendapatannya susut 74% berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi itu dipengaruhi tekanan margin keuntungan, kos pembiayaan yang lebih tinggi serta kadar cukai efektif yang meningkat.
Bagaimanapun, TA Research percaya kelemahan tersebut hanya bersifat sementara dan menjangkakan syarikat itu mencatat pemulihan yang lebih kukuh bermula tahun kewangan 2027.
Risiko Global Masih Perlu Diperhatikan
Menurut TA Research, pelabur masih perlu memantau beberapa faktor luaran yang berpotensi mempengaruhi pasaran termasuk perkembangan konflik di Timur Tengah, hala tuju inflasi global, pergerakan mata wang dan kemungkinan Pilihan Raya Umum Malaysia diadakan lebih awal.
Namun, firma penyelidikan itu berpandangan kelima-lima syarikat berkenaan mempunyai tahap perlindungan yang agak baik daripada risiko luaran memandangkan operasi mereka kebanyakannya tertumpu dalam negara dan tidak terlalu bergantung kepada pegangan pelabur asing.
TA Research turut mengekalkan sasaran FBM KLCI pada paras 1,760 mata menjelang akhir 2026, membayangkan potensi kenaikan sekitar 4.8% daripada paras semasa.
Dalam masa yang sama, firma itu percaya FBMSC berpotensi mengatasi prestasi pasaran keseluruhan sekiranya sentimen pelabur kembali positif pada separuh kedua tahun ini.
Bagi TA Research, walaupun pasaran masih bergelora, saham-saham bermodal kecil yang disokong pertumbuhan keuntungan kukuh terus menawarkan peluang kepada pelabur yang mencari pulangan melebihi prestasi pasaran. - DagangNews.com








