KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerjaya Prospek Group Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Aspen Vision Development Sdn Bhd (AVD), anak syarikat Aspen (Group) Holdings Ltd yang tersenarai di Singapura, bagi membangunkan projek pembangunan bercampur di Prai, Pulau Pinang melibatkan tanah milik Railway Assets Corp (RAC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek berkata projek itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 34.84 ekar menerusi syarikat tujuan khas (SPV), Rivanis Ventures Sdn Bhd (RVSB).
Menurut syarikat itu, pembangunan berkenaan merangkumi 338 unit rumah mampu milik selain kediaman, pangsapuri servis serta ruang komersial yang melibatkan komponen runcit dan pejabat.
"Pembinaan projek akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh dianggarkan tujuh tahun," katanya.
Bagi merealisasikan pembangunan itu, unit milik penuh Kerjaya Prospek, Futuprop Sdn Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan AVD.
Menerusi perjanjian tersebut, Futuprop akan memegang 55% kepentingan dalam RVSB manakala baki 45% dimiliki AVD.
Pada masa sama, RVSB turut menandatangani perjanjian pembangunan dengan RAC bagi memperoleh dan membangunkan tanah berkenaan pada nilai RM156.49 juta.
Kerjaya Prospek berkata, kedua-dua pihak usaha sama akan menyediakan jaminan korporat kepada RAC bagi memenuhi obligasi pembayaran di bawah perjanjian pembangunan serta memastikan komponen rumah mampu milik disiapkan mengikut syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, nilai pembangunan kasar (GDV) dan kos pembangunan keseluruhan projek masih belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada keadaan pasaran semasa, tempoh pembangunan, harga jualan serta komposisi akhir unit yang akan dibangunkan.
Tapak pembangunan yang terletak di Prai itu mempunyai akses strategik ke pusat komersial dan kediaman utama seperti Butterworth, Bukit Mertajam dan Pulau Pinang menerusi rangkaian infrastruktur sedia ada termasuk Jambatan Pulau Pinang.
Pembangunan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penyerahan milikan kosong tanah oleh RAC serta kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Dari segi pembiayaan, projek itu akan dibiayai menerusi gabungan sumbangan pemegang saham mengikut pegangan ekuiti masing-masing serta pembiayaan luaran, namun struktur pembiayaan terperinci masih belum diputuskan.
Kerjaya Prospek berkata, urus niaga berkenaan tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Pengambilalihan tanah itu dijangka disempurnakan menjelang September 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat yang ditetapkan. - DagangNews.com








