KUALA LUMPUR 27 Julai – SNS Network Technology Berhad memperoleh kontrak bernilai RM1.2 bilion bagi pembekalan pelayan kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi untuk sebuah syarikat hiburan digital global.
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pelanggan tersebut berpangkalan di Singapura, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat itu dalam segmen infrastruktur AI yang berkembang pesat.
Ujar kumpulan tersebut, perolehan tender berskala besar itu melibatkan perjanjian jualan dimeterai secara rasmi oleh anak syarikat milik penuhnya, SNS Network (M) Sdn Bhd, pada 26 Julai 2026.
"SNS Network akan membekalkan, menghantar dan menyediakan pelayan AI berprestasi tinggi kepada pelanggan itu, dengan aktiviti utama dalam penerbitan perisian dan aplikasi permainan," jelasnya.
Katanya, nilai keseluruhan asal kontrak berkenaan ialah AS$298.66 juta, atau bersamaan kira-kira RM1.22 bilion berdasarkan kadar pertukaran indikatif Bank Negara Malaysia (BNM) pada 27 Julai 2026.
Pembekalan berkenaan tambah kumpulan itu adalah sebahagian sahaja daripada urusan perniagaan biasa syarikat sebagai penyedia produk, perkhidmatan dan rumusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Lembaga Pengarah SNS Network berpandangan kontrak itu dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan selepas proses penghantaran produk dan pengiktirafan hasil dilaksanakan mengikut jadual.
"Bagaimanapun, syarikat menjelaskan kesan kewangan sebenar bergantung kepada masa penghantaran yang disahkan oleh pengeluar serta tempoh pengiktirafan hasil bagi setiap penghantaran," katanya lagi.
Pada masa sama ujar kumpulan tersebut, pelayan AI yang dibekalkan syarikat turut disertakan dengan jaminan selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh produk dihantar keluar dari kilang pengeluar.
Sebarang tuntutan jaminan atau isu berkaitan kecacatan produk akan ditanggung oleh pengeluar atau rakan perkhidmatan sah di Malaysia, manakala SNS Network hanya memberikan kerjasama sewajarnya.
Kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham utama kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu, serta tidak memerlukan sebarang kelulusan pihak lain.
"Pada masa sama, lembaga pengarah menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam urus niaga," katanya.
Justeru SNS Network menyifatkan kontrak tersebut sebagai langkah yang terbaik demi kepentingan syarikat dan dijangka memperkukuh prospek pertumbuhan dalam pasaran infrastruktur AI. - DagangNews.com








