KUALA LUMPUR 27 Julai – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memeterai dua perjanjian strategik bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kemampanan infrastruktur tenaga serta air negara menerusi Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA).
Menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat, kerjasama itu bertujuan memperluas penyelesaian utiliti bersepadu bagi meningkatkan kecekapan infrastruktur awam kritikal, selain menyokong aspirasi negara ke arah kemampanan, peralihan tenaga dan jaminan keselamatan bekalan air.
Menerusi ESA, TNB akan membekalkan elektrik voltan tinggi kepada Loji Rawatan Air Sungai Rasau di Kuala Langat, Selangor, yang menurut kenyataan itu merupakan loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,400 juta liter sehari (MLD).
Loji berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2031 dan akan membekalkan air terawat kepada kira-kira 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di bawah perjanjian itu juga, Loji Rawatan Air Sungai Rasau akan menjadi loji rawatan air pertama di Malaysia yang menerima bekalan elektrik secara terus pada voltan 132 kilovolt (kV), yang menurut TNB akan meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan operasi aset infrastruktur air strategik negara.
Air Selangor guna sistem pendinginan lingkungan pertama
Selain pembekalan elektrik, anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), akan membekalkan perkhidmatan Gas District Cooling kepada fasiliti Air Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur menerusi CESA yang mempunyai tempoh konsesi selama 20 tahun.
Menurut kenyataan itu, Air Selangor menjadi syarikat utiliti air pertama di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pendinginan lingkungan (district cooling).
TNB berkata, penyelesaian itu dijangka meningkatkan kebolehpercayaan sistem, prestasi tenaga dan kecekapan operasi berbanding sistem pendinginan konvensional yang dikendalikan secara kendiri.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad, serta Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali.
Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Air Selangor.

Sokong agenda kemampanan dan keselamatan utiliti negara
Shamsul berkata, kerjasama itu membuktikan integrasi yang lebih erat antara sektor tenaga dan sektor air mampu memperkukuh daya tahan infrastruktur kritikal negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan jangka panjang Malaysia.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan. Dengan menggabungkan kepakaran kami bersama Air Selangor, kami mencipta nilai yang memberi manfaat kepada pelanggan, memperkukuh perkhidmatan utiliti penting serta menyumbang kepada masa depan Malaysia yang lebih lestari," katanya.
Sementara itu, Adam Saffian berkata, kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Air Selangor memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat dapat disalurkan secara berterusan kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau berkata, sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia serta ahli Leading Utilities of the World (LUOW), Air Selangor memberi tumpuan kepada operasi yang cekap, berdaya tahan dan mampan bagi menyokong janji jenamanya, di samping membantu pertumbuhan ekonomi Selangor sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menurut kenyataan bersama itu, kerjasama berkenaan mengukuhkan peranan saling melengkapi antara TNB dan Air Selangor dalam memastikan kesinambungan dua utiliti awam paling kritikal negara melalui integrasi penyelesaian tenaga inovatif dengan infrastruktur air strategik, selain menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan air serta mempercepat penggunaan teknologi mampan dalam pembangunan infrastruktur kritikal. - DagangNews.com








