Prospek pertumbuhan Power Root dijangka mampan didorong jualan lebih kukuh pada 2HFY24 – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pertumbuhan Power Root dijangka mampan didorong jualan lebih kukuh pada 2HFY24 – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Prospek pertumbuhan Power Root Bhd dijangka mampan dipacu jualan lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (2HFY24) [Oktober 2023 hingga Mac 2024].

 

AmInvestment Research Bank berkata jualan kumpulan dijangka kukuh dalam 2HFY24 disokong oleh sambutan perayaan, sumbangan baharu daripada pasaran Thailand, produk siri teh baharu dan bahagian pasaran yang lebih tinggi dari kawasan bandar dan pasaran baharu di Afrika dan Kanada.

 

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan sumbangan jualan FY24 daripada pasaran tempatan akan lebih tinggi pada 57% berbanding 55% dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24).

 

Sementara itu, sumbangan jualan eksport FY24 dijangka pada 43% berbanding 45% pada 1QFY24.

 

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pendapatan akan bertahan disokong oleh strategi kawalan kos yang dipertingkat untuk bahan mentah, seperti mendapatkan sumber daripada pembekal alternatif dan melaraskan unit penyimpanan stok (SKU) khusus untuk mengurangkan kesan cukai gula ke atas produk pracampuran segera.

 

“Selain itu, penyusutan kos inventori yang lebih tinggi menyebabkan margin keuntungan kasar yang lebih baik untuk suku-suku berikutnya. Kami telah mengandaikan margin keuntungan kasar FY24 sebanyak 53% berbanding 51% pada 1QFY24.

 

“Kecekapan operasi semakin baik melalui penyelarasan proses jualan dan pemasaran melalui pendigitalan dan menaik taraf proses pembuatan. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada buruh dan meningkatkan output pengeluaran pengeluaran,”katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvestment, pengurusan Power Root menyatakan bahawa perbelanjaan modal sebanyak RM20 juta untuk jentera bagi tempoh lima tahun akan datang dan RM90 juta hingga RM100 juta untuk bangunan baharunya yang dijangka siap menjelang 2028.

 

Firma tersebut mengandaikan bahawa ia akan dibiayai secara dalaman dan sebahagiannya melalui pinjaman bank memandangkan kumpulan itu memiliki aliran tunai operasi yang substantif dan tunai bersih RM107 juta pada masa ini.

 

Di samping itu, Power Root telah membeli mesin pengisian baru-baru ini yang akan meningkatkan output pengeluarannya kepada 60 sachet dalam seminit setiap barisan berbanding mesin lama 28 hingga 35 sachet dalam seminit setiap barisan.

 

AmInvestment mengekalkan unjuran pendapatan FY24F-FY26 dan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) RM2.67 sesaham.

 

Saham Power Root susut 1 sen atau 0.5% kepada RM2.12 pada waktu penulisan, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.03 bilion.  - DagangNews.com